‘Sabah masih terpinggir selepas tiga dekad di bawah BN’

LocalPolitics
20 Sep 2025 • 2:50 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Bahagian Lumadan menyifatkan Datuk Seri Ahmad Maslan ‘syok sendiri’ apabila mendakwa pembangunan dinikmati Sabah adalah hasil pentadbiran Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

Ketuanya, Datuk Mazlan Joehari Manan (gambar) berkata, hakikat sebenar yang tidak boleh dinafikan ialah selama 34 tahun Sabah ditadbir BN, kemajuan wilayah ini jauh ketinggalan berbanding negeri-negeri di Semenanjung.

“Tempoh 34 tahun memerintah Sabah adalah masa yang cukup panjang. Ya, ada perubahan berlaku, tetapi realitinya kemajuan di Semenanjung jauh ke hadapan berbanding Sabah.

“Semua ini berpunca daripada dasar pembangunan yang tidak adil dan berat sebelah oleh kerajaan BN ketika itu.” katanya pada Khamis.

Beliau mengulas kenyataan Ahmad sebagai Ketua Sekretariat War Room Umno yang mendakwa GRS “mendabik dada” walau pun baru mentadbir tiga tahun berbanding pentadbiran BN selama tiga dekad di Sabah.

Ahmad dalam satu program di Sandakan baru-baru ini, berkata walaupun diserang dengan label “parti Malaya” oleh musuh terutamanya GRS, namun hakikat sebenar, BN telah meletakkan asas kemajuan dan peningkatan hasil negeri dinikmati kini.

Beliau memberi contoh pembinaan Lebuhraya Pan Borneo serta projek berimpak tinggi lain seperti Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (Sogip), Projek Ammonia dan Urea Sabah (Samur) dan Pelabuhan Kluster Industri Minyak Sawit (POIC) Lahad Datu.

Mazlan, yang juga Pegawai Khas Kepada Ketua Menteri, turut menyindir Ahmad  mengenai projek Pan Borneo yang masih belum siap hingga kini, sedangkan rakyat Semenanjung sudah lama menikmati jaringan lebuh raya moden.

Beliau berkata, BN juga tidak patut terlalu berbangga dengan Sogip serta beberapa taman perindustrian lain di Sabah kerana di Semenanjung, sudah berpuluh taman perindustrian sama diwujudkan.

“Apa yang ada di Sabah hanya sedikit dan jauh ketinggalan walaupun wilayah ini sebenarnya kaya dengan hasil bumi namun kerana tiada keikhlasan pentadbiran BN yang lalu, kekayaan itu tidak diterjemahkan untuk memajukan Sabah.

“Kalau BN betul-betul ikhlas, Sabah sudah lama maju dan setara atau lebih baik berbanding negeri-negeri di Semenanjung,” katanya yang turut menegaskan GRS tidak “mendabik dada” sebagaimana tuduhan Umno.

Mazlan berkata, sebaliknya, kerajaan GRS telah memperkenalkan pelbagai inisiatif untuk meningkatkan hasil ekonomi, menyalurkan bantuan terus kepada rakyat, serta mempelbagaikan sumber pendapatan Sabah.

Usaha di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor itu katanya, bertujuan supaya Sabah mampu berdikari dan tidak terus bergantung kepada Putrajaya.

“Banyak langkah yang dibuat GRS sekarang ini yang tidak pernah pun dilaksanakan oleh kerajaan terdahulu. Ini bukti keikhlasan kita untuk rakyat Sabah.

“Justeru, rakyat kena bersatu, politik tempatan kena bersama, bersetia dan bertekad menolak anasir luar yang mahu menguasai Sabah semula.

“Kita orang Sabah mesti menjadi tunjang dan teraju utama untuk melakar perubahan dan kemajuan wilayah ini,” katanya, menegaskan hanya parti tempatan yang memahami aspirasi rakyat Sabah berbanding parti luar.