PUTRAJAYA – Malaysia muncul antara enam negara yang mencatat pencapaian melebihi jangkaan dalam domain Penyelesaian Masalah Komputasional (CMPS) menerusi Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) 2025.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, Malaysia merekodkan skor 484 mata dalam CMPS, sekali gus memperlihatkan keupayaan murid negara ini menggunakan logik dan strategi bagi menyelesaikan masalah.
Menurut beliau, Penyelesaian Masalah Komputasional merujuk kepada kebolehan murid memecahkan masalah yang kompleks kepada bahagian lebih kecil, mengenal pasti pola, memilih maklumat yang relevan serta menyusun langkah penyelesaian secara sistematik.
“Dalam domain Penyelesaian Masalah Komputasional, Malaysia mencatatkan 484 mata dan merupakan antara enam negara yang pencapaiannya melebihi jangkaan,” katanya pada sidang akhbar pengumuman keputusan PISA 2025 di sini pada Selasa.
Selain Malaysia, Hong Kong, Macau, Iceland, Filipina dan Brunei turut menunjukkan prestasi cemerlang dalam domain tersebut.
Fadhlina berkata, dapatan itu penting kerana menunjukkan murid Malaysia mempunyai keupayaan berfikir yang boleh menjadi asas kepada penguasaan kemahiran yang lebih kompleks, terutama dalam dunia yang semakin dipengaruhi teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI).
Menurutnya, murid Malaysia menunjukkan keupayaan yang baik dalam mengenal pasti pola, menggunakan logik, menguji pelbagai kemungkinan serta mencari jalan penyelesaian apabila berdepan sesuatu masalah.
“Apabila mesin semakin pintar dalam memberikan jawapan, manusia perlu menjadi lebih bijak dalam mengemukakan soalan dan membuat penilaian,” katanya.
Beliau berkata, kemahiran tersebut turut menjadi antara elemen penting yang diterapkan dalam Kurikulum Persekolahan 2027 sebagai persediaan melahirkan generasi yang mampu menghadapi cabaran masa depan.






