Ibu bapa mempunyai pilihan untuk tidak menghantar anak-anak ke sekolah sekiranya mereka berasa bimbang terhadap tahap kesihatan susulan keadaan jerebu yang sedang melanda negara ketika ini.

Memetik laporan Sinar Harian, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, keputusan tersebut hanya perlu dimaklumkan kepada pihak sekolah oleh ibu bapa.
“Saya faham kebimbangan ibu bapa melihat keadaan jerebu ketika ini. Kebimbangan ibu bapa kita dengar. Kesihatan dan keselamatan anak-anak tetap menjadi keutamaan dalam setiap tindakan yang kita ambil,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Dalam pada itu, Fadhlina berkata Kementerian Pendidikan (KPM) akan terus mengikuti perkembangan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) yang dikeluarkan Jabatan Alam Sekitar (JAS), selain memantau keadaan semasa terutama di lokasi yang terjejas akibat jerebu.
Menurutnya, langkah atau keputusan berkaitan operasi sekolah akan dilaksanakan berpandukan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan.
“Apabila IPU melebihi 100, semua aktiviti luar bilik darjah dihentikan. Apabila IPU melebihi 200, sekolah ditutup,” jelasnya.
Artikel lain: Isu jerebu, KJ kritik penguatkuasaan Indonesia -“Kita sebelah negara dunia ke-3 yang sebenar”
Berdasarkan maklumat yang dipaparkan menerusi portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara (APIMS) pagi ini, Samarahan, Sarawak mencatatkan bacaan 226, sekali gus menjadi satu-satunya kawasan yang berada pada tahap sangat tidak sihat.
Sementara itu, sebanyak 40 kawasan di seluruh negara merekodkan bacaan pada tahap tidak sihat. Sebanyak 24 kawasan pula berada pada tahap sederhana, manakala dua kawasan mencatatkan bacaan pada tahap baik.
Sumber: Sinar Harian






