
Pendahulu carta kejuaraan sementara Malaysian Cub Prix, Afif Amran dan Akid Aziz, yang beraksi bersama Pitsbike Superfast JRT Racing Team di ARRC, mencari keserasian dengan jentera serta litar Mandalika.
Walaupun pernah beraksi di sini, pasukan yang dikuasakan oleh Rapido masih belum menemui rentak optimum selepas sesi latihan bebas pertama pagi tadi. Afif menamatkan sesi di kedudukan ke-21 dengan catatan masa 1:57.435, manakala rakan sepasukannya, Akid Aziz, berada di kedudukan ke-13 dengan masa 1:56.008. Bagaimanapun, catatan tersebut masih jauh daripada kelompok pelumba terpantas yang berada di sekitar 1 minit 54 saat, menunjukkan banyak lagi talaan perlu dicari untuk bersaing rapat di hadapan.
Tambahan pula, saingan untuk pusingan kali ini dijangka lebih mencabar dengan kehadiran ramai pelumba wildcard dari pasukan tempatan Indonesia. Kehadiran mereka bukan sahaja menambah bilangan pelumba, malah turut meningkatkan intensiti perlumbaan kerana rata-rata sudah biasa dengan selok-belok litar Mandalika.
Ketika ini, skuad Pitsbike Superfast JRT Racing terus bertungkus-lumus mencari set-up terbaik bagi memastikan Afif dan Akid mampu menutup jurang masa serta memberikan keputusan maksimum pada hujung minggu perlumbaan.
The post Pitsbike Superfast JRT Racing Team Mencari Keserasian di Mandalika appeared first on TW Media.
