
KUALA LUMPUR – Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) mengakui pemergian Pengarah Teknikalnya, John Beasley ke Jepun bakal meninggalkan kehilangan besar buat pembangunan sukan berbasikal trek negara, khususnya selepas lebih dua dekad menabur bakti bersama skuad kebangsaan.
Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh Gill berkata, pengalaman, kepakaran dan sumbangan Beasley dalam melahirkan pelumba bertaraf dunia menjadikan tugas mencari pengganti setanding dengannya bukan sesuatu yang mudah.
Beliau berkata, kehilangan itu bukan sahaja dirasai PKBM, malah turut memberi kesan kepada Majlis Sukan Negara (MSN), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta barisan pelumba kebangsaan yang pernah mendapat bimbingan pengendali kelahiran Australia itu.
“Sudah pasti yang paling terasa ialah kami di PKBM. John sudah bersama kami lebih dua dekad dan dalam tempoh itu, beliau melahirkan ramai pelumba bertaraf dunia, terutama Datuk Azizulhasni Awang.
“Revolusi di peringkat dunia bermula dengan Mohd Rizal Tisin dan Azizulhasni. Kemudian, John membentuk Muhammad Shah Firdaus Sahrom. Jangan lupa juga pengorbanan dan jasa beliau dalam membentuk Nurul Izzah Izzati Mohd Asri.
“John juga melahirkan juara dunia menerusi pencapaian Azizulhasni pada 2017,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Amarjit berkata, sumbangan Beasley terhadap pembangunan berbasikal negara cukup besar, justeru pemergiannya pasti meninggalkan kekosongan yang sukar diisi.
“Banyak pengorbanan dan jasa John kepada sukan berbasikal negara. Pemergiannya pasti sukar untuk ditukar ganti.
“Terima kasih John atas segala komitmen, dedikasi dan sumbangan yang telah dicurahkan kepada sukan berbasikal Malaysia. Kami di PKBM akan sentiasa mengenang jasa dan bakti anda.
“Selamat maju jaya dan semoga segala urusan serta perjalanan anda pada masa depan dipermudahkan dan terus mencapai kejayaan,” katanya.
Beasley bakal menamatkan perkhidmatannya bersama skuad trek kebangsaan Malaysia pada 31 Oktober ini selepas mengemukakan surat peletakan jawatan pada 1 Ogos lalu dengan notis tiga bulan.
Beliau mula berkhidmat bersama skuad kebangsaan pada 1 Januari 2006 dan sepanjang tempoh itu, berjaya membimbing serta membentuk ramai pelumba berprestasi tinggi. -KOSMO! ONLINE
HABIS
The post PKBM akui pemergian Beasley sukar ditukar ganti appeared first on Kosmo Online.





