'Lepas b*nuh serah diri.' 12 tahun berkhidmat kastam, Norhazwani pergi selamanya dipercayai angkara suami, jasa terus dikenang

16 Oct 2026 • 10:40 AM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

Image from: 'Lepas b*nuh serah diri.' 12 tahun berkhidmat kastam, Norhazwani pergi selamanya dipercayai angkara suami, jasa terus dikenang

PEMERGIAN seorang anggota Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Norhazwani Ibrahim, bukan sahaja meninggalkan kesedihan buat keluarga, malah turut dirasai warga Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang pernah menjadi tempatnya menabur bakti selama 12 tahun.

Allahyarhamah dipercayai menjadi mangsa pembunuhan suaminya di sebuah kuarters kediaman kakitangan kerajaan berhampiran Jalan Kuarters KLIA.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad mengesahkan pihak polis menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira pukul 8.30 malam.

Image from: 'Lepas b*nuh serah diri.' 12 tahun berkhidmat kastam, Norhazwani pergi selamanya dipercayai angkara suami, jasa terus dikenang

"Pembunuhan itu dipercayai dilakukan oleh suaminya. Suspek juga menyerahkan diri di balai polis selepas kejadian berkenaan," katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Difahamkan, polis sedang menjalankan siasatan terperinci di lokasi kejadian bagi mengenal pasti motif kejadian serta waktu tepat insiden itu berlaku.

Image from: 'Lepas b*nuh serah diri.' 12 tahun berkhidmat kastam, Norhazwani pergi selamanya dipercayai angkara suami, jasa terus dikenang

Suspek turut dibawa ke lokasi kejadian bagi membantu siasatan lanjut.

Alzafny berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Maklumat lanjut berhubung kes itu akan dikeluarkan selepas siasatan di tempat kejadian selesai sepenuhnya.

https://www.sinarharian.com.my/article/800658/berita/semasa/penjawat-awam-mati-dipercayai-dibunuh-suami-dalam-proses-cerai---abang-mangsa

Sementara itu, Ketua Pengarah Kastam bersama seluruh warga JKDM menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarhamah yang telah berkhidmat bersama jabatan itu sejak 17 Februari 2014.

Menerusi perkongsian di media sosial, Allahyarhamah Norhazwani binti Ibrahim merupakan Pembantu Penguasa Sempadan Gred KS1 di AKPS, KLIA.

"Takziah kepada keluarga Allahyarhamah Norhazwani binti Ibrahim, Pembantu Penguasa Sempadan Gred KS1, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), KLIA atas pemergian beliau ke rahmatullah.

"Allahyarhamah telah menyertai Jabatan Kastam Diraja Malaysia pada 17 Februari 2014 dan seterusnya ditempatkan secara kader di Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), berkuat kuasa 1 Oktober 2025," kongsinya.

Image from: 'Lepas b*nuh serah diri.' 12 tahun berkhidmat kastam, Norhazwani pergi selamanya dipercayai angkara suami, jasa terus dikenang

Dalam perkongsian sama, pihak jabatan turut menitipkan doa agar roh Allahyarhamah dicucuri rahmat dan keluarganya diberikan kekuatan menghadapi kehilangan insan tersayang.

"Semoga ALLAH SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarhamah, mengampunkan segala dosa-dosanya serta menempatkan beliau dalam kalangan orang-orang yang beriman.

"Semoga seluruh ahli keluarga Allahyarham diberikan ketabahan, kekuatan dan kesabaran dalam menghadapi kehilangan ini," kongsinya.

Bukan sekadar ucapan takziah, pihak jabatan turut menegaskan bahawa segala sumbangan Allahyarhamah sepanjang menjalankan amanah sebagai penjawat awam akan terus dihargai.

"Segala jasa dan bakti Allahyarhamah sepanjang perkhidmatan beliau akan sentiasa dikenang dan dihargai," kongsinya.

Mayat dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar

Dalam kejadian itu, seorang lelaki yang dipercayai suspek dibawa polis masuk ke kediaman berkenaan kira-kira pukul 11.30 malam dalam keadaan bergari sebelum dilihat keluar kira-kira 20 minit kemudian.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban untuk tindakan lanjut.

Sumber: Bernama. Sinar Harian, Facebook

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved