PKFZ sedia bantu audit isu minyak sawit import dilabel semula sebagai produk Malaysia

LocalBusiness & Finance
13 Nov 2026 • 11:00 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

PKFZ sedia bantu audit isu minyak sawit import dilabel semula sebagai produk Malaysia Image from: PKFZ sedia bantu audit isu minyak sawit import dilabel semula sebagai produk Malaysia amree13/11/2026 - 11:00 Gambar hiasan - BERNAMA Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 13 Nov — Dakwaan minyak sawit import konon dicampur dengan bekalan tempatan sebelum dieksport semula menggunakan label Malaysia kini mencetuskan persoalan serius mengenai ketulenan produk, ketelusan asal usul dan sistem kebolehkesanan minyak masak negara.

 

Sehubungan itu, operator Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) memberi jaminan akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa, termasuk menyediakan laporan berkaitan serta memudahkan sebarang permintaan audit bagi menyiasat isu produk berkenaan.

 

Pengerusinya, Lim Lip Eng berkata, PKFZ turut bersedia membantu pihak berkuasa untuk mendapatkan segala maklumat berkaitan yang diperlukan bagi memastikan perkara tersebut dapat diteliti dengan sewajarnya agar tidak lagi berulang pada masa depan pula.

 

"PKFZ sebenarnya beroperasi di bawah Akta Zon Bebas, manakala aspek penguatkuasaan berhubung ketulenan sesuatu produk dan pematuhan peraturan masih lagi terletak di bawah bidang kuasa agensi kerajaan yang berkaitan." jelas beliau dalam kenyataan pada Khamis.

 

Antara agensi yang boleh terbabit dalam isu tersebut ujar beliau, ialah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), SIRIM, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) serta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

 

Isu itu timbul susulan laporan The Edge pada 4 November 2026 yang memetik sumber industri mengenai dakwaan minyak sawit import dicampur dengan bekalan tempatan sebelum dieksport semula, sekali gus membolehkan minyak luar negara dipasarkan sebagai produk Malaysia.

 

PKFZ_DagangNews2026

 

Laporan berkenaan turut menyebut nisbah campuran 75:25 atau 80:20 yang didakwa diamalkan dalam pasaran, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai pengisytiharan negara asal dan pengesahan komposisi sebenar produk selepas proses pencampuran.

 

Pakar industri maritim, Datuk Seri Jeyenderan Ramasamy yang berpengalaman lebih 30 tahun berkata, pemeriksaan bebas di makmal diperlukan bagi menentukan sama ada minyak import dan produk campuran akhir memenuhi piawaian kualiti serta keselamatan makanan.

 

Beliau turut mempersoalkan sama ada sampel minyak diuji sebelum kapal yang membawa kargo tersebut meninggalkan perairan Malaysia, selain menegaskan sebarang kemungkinan pencemaran perlu disiasat menerusi ujian saintifik dan bukannya andaian.

 

Katanya, piawaian Codex Alimentarius yang diterima pakai Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO) serta Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menetapkan negara asal makanan perlu diisytiharkan bagi mengelakkan kekeliruan pengguna.

 

"Bagaimanapun, pencampuran minyak semata-mata juga sebenarnya tidak mengubah sifat asal produk sehingga membolehkan ia dianggap sepenuhnya berasal dari Malaysia," tegas Ketua Pegawai Eksekutif Maritime Network Sdn Bhd itu menurut laporan The Edge.

 

Beliau turut menggesa kerajaan memperjelas prosedur import, pencampuran, pensampelan, pensijilan kualiti dan eksport semula minyak masak, termasuk tanggungjawab setiap agensi, bagi memastikan dokumentasi serta ujian makmal bebas dilaksanakan.

 

Langkah tersebut ujar Jeyenderan, adalah amat perlu demi memastikan reputasi Malaysia sebagai pengeksport makanan di pasaran antarabangsa tidak terjejas. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved