amree10/11/2026 - 16:35 Gambar hiasan Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 10 Nov — Stok minyak sawit Malaysia meningkat 3.15% kepada 3.62 juta tan pada Oktober 2026 berbanding 3.51 juta tan pada bulan sebelumnya, meskipun eksport komoditi itu melonjak lebih 55% dalam tempoh sama, menurut Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).
Kata agensi tersebut, peningkatan itu bersamaan pertambahan sebanyak 110,610 tan berbanding September 2026, dengan stok minyak sawit mentah (MSM) meningkat kira-kira 7.46% atau 161,379 tan kepada mencecah 2.32 juta tan daripada hanya 2.16 juta tan.
Bagaimanapun jelasnya, stok minyak sawit diproses susut kira-kira 3.77% atau 50,769 tan kepada sebanyak 1.29 juta tan berbanding 1.34 juta tan yang pernah dicatatkan pada bulan sebelumnya.
Dalam laporan Prestasi Industri Minyak Sawit Malaysia bagi Oktober 2026, MPOB berkata, pengeluaran MSM meningkat 1.74% atau 36,751 tan kepada 2.15 juta tan berbanding 2.11 juta tan pada September.
"Sebaliknya, pengeluaran isirung sawit mencatatkan penurunan 0.79% kepada 504,766 tan berbanding 508,392 tan pada bulan sebelumnya," kata MPOB dalam kenyataan pada Selasa.
Pengeluaran minyak isirung sawit mentah pula ujarnya, meningkat 10.56% kepada 231,498 tan, manakala pengeluaran hampas isirung sawit bertambah 7.68% kepada 250,572 tan berbanding September 2026.

Dari segi perdagangan, eksport minyak sawit Malaysia melonjak 55.75% kepada 1.70 juta tan pada Oktober 2026 berbanding bulan sebelumnya, sekali gus menunjukkan peningkatan ketara permintaan terhadap komoditi itu di pasaran antarabangsa.
Bagaimanapun jelas MPOB, eksport minyak isirung sawit negara ini merosot kira-kira 1.96% kepada 73,395 tan, manakala eksport hampas isirung sawit pula turut jatuh 36.89% kepada sebanyak 248,305 tan dalam tempoh sama.
"Eksport oleokimia namun meningkat 34.26% kepada 322,708 tan, manakala penghantaran biodiesel melonjak 84.53% kepada 5,406 tan berbanding September 2026," jelasnya.
Bagi import, Malaysia tidak merekodkan sebarang import MSM pada Oktober 2026, manakala import minyak sawit diproses merosot 48.87% kepada 26,207 tan daripada 51,252 tan pada bulan sebelumnya.
Secara keseluruhan, data MPOB menunjukkan peningkatan eksport dan pengeluaran minyak sawit berlaku serentak dengan pertambahan stok negara, dengan stok MSM menjadi penyumbang utama kenaikan inventori pada Oktober 2026. - DagangNews.com






