SEJAK tahun lalu bekas Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli memang buat kerja gila.
Selepas kalah pemilihan PKR, pelbagai pendedahan dibuatnya. Dan satu demi satu nama ahli politik didedah dan dipetik dalam podcast atau video beliau di media sosial.
Satu nama paling awal dipetik Rafizi tidak lain tidak bukan R Ramanan sehingga membawa ‘perang mulut’ beliau secara terbuka dengan Naib Presiden PKR itu.
Ramanan dalam sidang media minggu lalu mengkritik Rafizi termasuk merujuk dia sebagai Menteri yang gagal.
Dalam video terbaru, Rafizi mengaitkan nama baru termasuk Nurul Izzah Anwar dan Saifuddin Nasution Ismail yang dikatakan mengajaknya bergabung bersama.
Dakwa Rafizi kerjasama itu bukanlah untuk persediaan pilihan raya tapi untuk nak ‘lawan’ bekas Ketua PKR Perak yang kini dianggap ahli perniagaan terhangat di pasaran.
Sama ada dakwaan itu betul atau tidak, hanya Izzah atau Saifuddin boleh mengesahkannya.
Pun begitu, ketika Pakatan Harapan (PH) bersama kerajaan Madani berusaha mengukuhkan serta membuktikan barisan kepimpinan mereka kuat dan terbaik, serangan serangan Rafizi ibarat duri dalam daging kepada PH.
Tapi ternyata PH tidak bersendirian kerana Bersatu juga berdepan kemelut sama lebih setahun lalu.
Kemuncak kepada pergelutan di puncak kuasa Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin terpaksa memecat orang nombor duanya, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Pun begitu, penyingkiran Hamzah belum sepenuhnya mendamaikan Bersatu.
Sebagai operator politik berpengalaman, Hamzah bukan saja membawa bersama sejumlah besar ahli Parlimen Bersatu bersamanya, tetapi terus menyerang kepimpinan Muhyiddin.
Jika nasib Hamzah sudah diketahui tergelincir daripada Bersatu, persoalannya bagaimana pula dengan Rafizi?

