PKR bercita-cita tambah Adun 

LocalPolitics
20 Aug 2025 • 1:54 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

TAWAU: Parti Keadilan Rakyat (PKR) akui menyimpan cita-cita besar untuk memiliki lebih ramai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) selepas berakhirnya Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-17 kelak, demi memastikan agenda reformasi di peringkat nasional turut berlaku di Sabah.

Malah Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah Datuk Ts Mustapha Sakmud berkata, senario politik negara kini sudah berubah apabila PKR bukan lagi berada di blok pembangkang, sebaliknya muncul sebagai tunjang utama dalam Pakatan Harapan (PH) dan kepimpinan Kerajaan Perpaduan Madani.

“PKR memerlukan saiz suara (jumlah wakil rakyat) yang lebih besar di DUN supaya boleh mengutarakan isu-isu yang penting bagi kita, terutamanya dari segi reformasi institusi pentadbiran kerajaan dan berkaitan rasuah.

“Sebab itu juga calon-calon yang akan kita tampilkan untuk bertanding kali ini mungkin dalam 13 kerusi (jumlah sebenar belum dimuktamadkan),” katanya ketika ditemui pemberita di Felda Umas di sini, pada Ahad.  Maklum balas terbabit diberikannya selepas ditanya mengenai keyakinan PKR bertanding kerusi DUN dengan jumlah yang lebih besar sedangkan rekod parti itu menang tujuh kerusi pada PRN Ke-15 sebelum merosot kepada hanya dua kerusi pada PRN Ke-16.

Mustapha berkata jumlah kecil perwakilan seperti hanya dua orang ketika ini, dilihat belum memadai.

“Kita akan menampilkan beberapa tokoh yang terpilih dalam kalangan calon-calon yang saya yakini boleh membawa suara reformasi ke dalam DUN, mengambil kira latar belakang mereka berdasarkan taraf pendidikan, pengalaman pengurusan dan penglibatan dalam arena politik.

“Maknanya kriteria-kriteria pemilihan calon untuk mewakili PKR pada PRN kali ini melibatkan mereka yang diyakini boleh diterima dengan mudah oleh masyarakat,” katanya.

Menyentuh kerusi yang sudah dikenalpasti oleh PKR di Parlimen Tawau dan Kalabakan pula, beliau sekadar memberitahu hal itu masih di peringkat rundingan, namun mengungkapkan pihaknya ada ‘bermimpi’ tentang Merotai, Kukusan dan Sebatik.

Beliau turut mengulas ringkas kepentingan kerjasama antara PH dengan Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), serta menyifatkan tugas utama mereka adalah untuk mempertahankan kestabilan politik negara.