
MELAKA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) perlu mengelak daripada terperangkap dalam politik identiti dan perkauman, sebaliknya mengajak rakyat menilai parti serta kerajaan berdasarkan prestasi.
Naib Presiden PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, penilaian terhadap sesebuah kerajaan seharusnya dibuat berdasarkan pencapaian ekonomi, kebajikan rakyat serta keupayaannya membantu setiap lapisan masyarakat.
Katanya, parti juga tidak seharusnya terikut-ikut dengan pendekatan lawan politik yang menggunakan sentimen kaum dan agama untuk meraih sokongan.
“Cadangan saya ialah jangan bertempur dalam gelanggang politik identiti. Kita fokus kepada politik prestasi dan kemampuan. Jangan terperangkap dalam gelanggang politik identiti.
“Kalau politik perkauman dan politik identiti, tak ada pemenang. Kita harus ajak rakyat untuk nilai berasaskan politik prestasi, prestasi ekonomi, prestasi kebajikan rakyat, cara kita tolong setiap lapisan rakyat,” katanya dalam ucapan penggulungan pada Kongres Nasional Tahunan PKR di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini hari ini.
Saifuddin yang kini menggalas tugas Timbalan Presiden berkata, politik identiti yang disandarkan kepada sentimen agama hanya akan memecah-belahkan masyarakat hingga ke peringkat akar umbi.
Katanya, perbezaan politik sepatutnya diterjemahkan melalui perbahasan mengenai dasar, program, pendekatan dan rancangan yang ditawarkan kepada rakyat.
“Sepatutnya terangkan dasar kamu, program kamu, pendekatan kamu, rancangan kamu untuk rakyat, untuk negara.
“Tapi kerana perbezaan itu diberikan konotasi agama, gaya politik ini membelah masyarakat, membelah rakyat, membelah manusia sampai ke bawah, sampai ke kampung,” katanya.
Saifuddin berkata, antara ukuran prestasi kerajaan ketika ini ialah kestabilan politik, kemampuan ekonomi dan tumpuan terhadap kebajikan rakyat.
Katanya, kerajaan perlu terus melaksanakan perkara yang betul walaupun berdepan kritikan atau serangan politik.
“Apa pun kejayaan, apa pun maklum balas terhadap kita, teruskan kerja yang betul-betul. Buatlah perkara yang betul,” katanya. – UTUSAN
The post PKR jangan bertarung dalam gelanggang politik identiti – Saifuddin appeared first on Utusan Malaysia.





