PKR tidak lindungi ahli salah guna kuasa - Fahmi

LocalPolitics
3 Apr 2026 • 11:56 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Fahmi (tengah) bercakap kepada pemberita selepas berucap dalam Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Cabang Keadilan Wilayah Persekutuan pada Jumaat.

KUALA LUMPUR – Tiada mana-mana pimpinan ataupun ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang akan dilindungi sekiranya terlibat dalam salah guna kuasa.

Ketua Penerangan PKR, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pendirian itu selari dengan amaran Presiden PKR yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa tiada sesiapa termasuk menteri akan dilindungi jika terbabit dalam salah guna kuasa.

Beliau berkata, siasatan akan tetap dijalankan dan tindakan pendakwaan akan diambil tanpa kompromi sekiranya berlaku pelanggaran.

"Jangan pernah ambil kesempatan salah guna kuasa, jangan ambil kesempatan atau sempat ambil apa-apa. Jangan sampai imej parti tercalar dengan pergi ke mana-mana kononnya mahu 'tengok lesen'.

"Bila diberi amanah, jangan dinodai. Ini peringatan kepada kita semua. Kita dahulu berdepan dengan FRU untuk menghentikan penyalahgunaan kuasa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Cabang Keadilan Wilayah Persekutuan di sini pada Jumaat.

Justeru, Fahmi menegaskan bahawa perkara sama tidak seharusnya dibiarkan berulang dalam kalangan mereka.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan pemimpin agar tidak lupa asal-usul serta tidak terlalu selesa dengan kemewahan selepas memegang jawatan.

Menurutnya, perubahan gaya hidup secara mendadak tanpa penjelasan munasabah boleh menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan rakyat.