
PETALING JAYA: Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tempatan dijangka berdepan pendedahan langsung lebih rendah terhadap keperluan pelaporan kemampanan korporat Kesatuan Eropah (EU) susulan perubahan skop Arahan Pelaporan Kelestarian Korporat (CSRD).
Ketua Ahli Ekonomi MBSB Research, Abdul Mui’zz Morhalim berkata, bagaimanapun, tekanan komersial untuk menyediakan data alam sekitar, sosial dan rantaian bekalan yang sahih serta boleh dipercayai dijangka terus meningkat.
“Pengurangan bilangan syarikat yang tertakluk secara langsung kepada peraturan pelaporan EU tidak seharusnya dianggap sebagai pengurangan jangkaan pasaran.
“Pembeli dan pelabur semakin memerlukan bukti berkaitan pelepasan karbon, penggunaan sumber, amalan buruh dan risiko rantaian bekalan.
“Bagi syarikat Malaysia, hala tuju ke hadapan masih jelas.
“Syarikat yang membangunkan keupayaan ini lebih awal akan berada pada kedudukan lebih baik untuk bersaing di pelbagai pasaran, bukan sekadar memenuhi keperluan satu peraturan sahaja,” katanya dalam kenyataan.
Di bawah Direktif (EU) 2026/470 menerusi pakej Omnibus I EU, ambang perolehan bagi syarikat induk tertentu di luar EU di bawah Artikel 40a Accounting Directive dinaikkan daripada EUR150 juta kepada lebih EUR450 juta dalam perolehan bersih yang dijana di EU.
Perubahan itu mengurangkan bilangan syarikat induk bukan EU yang tertakluk secara langsung kepada keperluan pelaporan, namun tidak menghapuskan permintaan terhadap data ESG daripada pelanggan, institusi pembiaya dan rakan dagang.
Beliau berkata, pengeksport Malaysia dalam sektor elektronik, minyak sawit, getah dan pembuatan bahan kimia antara yang paling terdedah apabila pembeli antarabangsa terus memerlukan data berkaitan pelepasan karbon, keadaan pekerjaan, sumber bekalan dan kebolehkesanan produk.
“Bagi pengeksport minyak sawit dan getah, EU Deforestation Regulation (EUDR) pula menjadi pertimbangan lebih segera apabila pelaksanaannya bagi pengendali besar dan sederhana bermula 30 Disember 2026.
“Peraturan itu mewajibkan pengendali dan pedagang membuktikan produk yang dipasarkan di EU tidak mempunyai kaitan dengan aktiviti penebangan atau kemerosotan kawasan hutan, sekali gus meningkatkan keperluan terhadap kebolehkesanan dan data rantaian bekalan.
“Tekanan terhadap pendedahan ESG juga semakin meluas di Asia apabila Jepun melaksanakan keperluan pendedahan kemampanan mandatori bagi syarikat dalam Pasaran Perdana Bursa Saham Tokyo, manakala Korea Selatan bergerak ke arah pelaksanaan keperluan sama bagi syarikat tersenarai berskala besar.
“Bagi PKS dan pengeksport Malaysia, permintaan terhadap maklumat ESG kini semakin berkemungkinan datang daripada pelbagai pasaran dan pelanggan utama, bukan hanya pembeli Eropah,” katanya. – UTUSAN
The post PKS dijangka berdepan tekanan pelaporan kemampanan EU appeared first on Utusan Malaysia.





