PKS paling terjejas akibat konflik di Timur Tengah - BNM

LocalBusiness & Finance
5 Oct 2026 • 11:06 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

PKS paling terjejas akibat konflik di Timur Tengah - BNM Image from: PKS paling terjejas akibat konflik di Timur Tengah - BNM hamden05/10/2026 - 11:06 PKS berdepan kos meningkat akibat konflik di Timur Tengah. - Gambar hiasan oleh Firdaus Latif Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 5 Okt - Konflik di Timur Tengah menyebabkan sesetengah perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berdepan kos input dan logistik yang lebih tinggi, kelewatan pembayaran serta kitaran penukaran tunai yang lebih panjang susulan konflik di Timur Tengah, menurut laporan Bank Negara Malaysia (BNM).

 

Cabaran itu lebih ketara dalam kalangan PKS yang lazimnya mempunyai margin lebih nipis, penampan kecairan lebih kecil dan ruang yang lebih terhad berbanding firma besar untuk mempelbagaikan pembekal atau menyerap kenaikan kos.

 

Menurut BNM, keadaan perniagaan secara keseluruhannya kekal stabil, disokong permintaan domestik yang berterusan, eksport elektrik dan elektronik yang kukuh serta aktiviti pelaburan yang berterusan.

 

Bagaimanapun, hasil libat urus dengan perniagaan menunjukkan tekanan lebih tinggi dalam kalangan sesetengah firma, khususnya dalam sektor perdagangan borong dan runcit, pembinaan serta segmen pembuatan terpilih.

 

Sesetengah firma dalam sektor terbabit mengalami pengurangan penampan tunai dan peningkatan kebergantungan kepada pembiayaan jangka pendek serta modal kerja.

 

"Dalam sektor pembuatan asas pula, kenaikan harga input seperti baja dan komoditi berkaitan petrokimia turut menambah tekanan kos. Bagaimanapun, kebanyakan firma masih mampu mendapatkan bekalan penting meskipun pada harga lebih tinggi," kata bank pusat itu dalam Laporan Kestabilan Kewangan.

 

Menurut BNM, perniagaan turut mengambil langkah mengurangkan tekanan berkenaan termasuk meningkatkan kecekapan kos, mempelbagaikan pembekal dan kaedah mendapatkan bekalan, menyesuaikan rancangan pengeluaran serta inventori dan memperkukuh pengurusan aliran tunai.

 

Pinjaman Perniagaan 

Kualiti keseluruhan pinjaman perniagaan juga kekal baik, dengan nisbah kemerosotan nilai pinjaman perniagaan berada pada 2.8% setakat Jun 2026.

 

Pada masa sama, bahagian pinjaman yang diklasifikasikan sebagai mempunyai risiko kredit meningkat, atau pinjaman Tahap 2, kekal di bawah purata jangka pendek.

 

Bagaimanapun, tekanan pembayaran balik muncul dalam segmen terpilih, termasuk PKS dalam sektor pengangkutan, perdagangan borong dan runcit serta pembuatan asas.

 

Perkembangan itu menunjukkan kemungkinan risiko kredit terpendam meningkat dalam kalangan firma terpilih yang mengalami tekanan kecairan berterusan, sekali gus menjadikan pemantauan di peringkat peminjam dan sektor penting.

 

Kedudukan kewangan isi rumah kekal berdaya tahan

Kedudukan kewangan isi rumah Malaysia kekal berdaya tahan, disokong keadaan pasaran buruh yang stabil serta bantuan tunai kerajaan dan subsidi bahan api yang membantu mengehadkan kesan kenaikan kos global terhadap kuasa beli.

 

BNM berkata, kualiti pinjaman isi rumah secara amnya kekal stabil, meskipun nisbah tunggakan MIA 2 dan MIA 3 meningkat sedikit, manakala MIA 1 menyederhana dengan ketara.

 

Peningkatan MIA 2 dan MIA 3 berlaku merentasi semua kumpulan pendapatan, namun lebih ketara dalam kalangan peminjam berpendapatan rendah yang mempunyai penampan kewangan lebih terhad.

 

Permintaan terhadap bantuan pembayaran balik juga kekal stabil, dengan pendedahan di bawah bantuan pembayaran balik bank dan Program Pengurusan Kredit AKPK merangkumi 1.8% daripada jumlah pinjaman sistem perbankan dan institusi kewangan pembangunan pada Mac 2026.

 

BNM berkata, setakat ini terdapat bukti terhad bahawa konflik di Timur Tengah telah menjejaskan keupayaan pembayaran balik hutang isi rumah secara material.

 

Setakat Jun 2026, nisbah khidmat hutang median berada pada 32.1%, berbanding 32.2% pada Mac, manakala nisbah hutang kepada pendapatan median kekal pada 1.28 kali pendapatan kasar berbanding 1.29 kali sebelumnya. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved