
MALAYSIA kini berada pada fasa penting dalam menentukan kedudukan ekonomi digitalnya di rantau Asia Tenggara.
Selama ini, negara dikenali sebagai hab pembuatan, perdagangan dan perkhidmatan. Namun, perubahan teknologi global membuka ruang baharu apabila Malaysia semakin menjadi pilihan pelabur untuk membangunkan pusat data berskala besar.
Perkembangan ini bukan sekadar berkaitan kemajuan teknologi tetapi turut membawa kesan besar terhadap pertumbuhan ekonomi, keselamatan infrastruktur, keperluan tenaga serta keupayaan negara mengurus transformasi digital secara mampan.
Dalam ekonomi moden, pusat data bukan lagi sekadar tempat penyimpanan maklumat. Ia menjadi nadi kepada pelbagai perkhidmatan digital seperti pengkomputeran awan, kecerdasan buatan (AI), transaksi kewangan, e-dagang, logistik pintar dan sistem kerajaan digital.
Peranannya kini hampir menyamai kepentingan pelabuhan, lebuh raya dan rangkaian elektrik dalam ekonomi tradisional kerana pusat data memastikan aliran maklumat dan operasi digital berjalan lancar.
Peningkatan pelaburan global dalam sektor ini menunjukkan Malaysia mula memainkan peranan lebih besar dalam ekosistem digital Asia. Negara ini bukan lagi hanya menjadi pengguna teknologi tetapi berpotensi muncul sebagai penyedia infrastruktur digital yang menyokong pertumbuhan ekonomi serantau.
Antara lokasi yang mendapat perhatian utama ialah Johor. Kedudukan berhampiran Singapura, ketersediaan tanah, kos operasi yang kompetitif serta kemudahan industri menjadikan negeri itu sebagai koridor digital baharu.
Perkembangan sama turut berlaku di Lembah Klang, sekali gus membentuk rangkaian pusat data yang semakin meluas di seluruh negara.
Bagaimanapun, pertumbuhan sektor ini perlu diurus dengan perancangan yang teliti. Pengalaman beberapa negara menunjukkan pusat data membawa peluang ekonomi yang besar tetapi turut mencetuskan cabaran berkaitan penggunaan tenaga, bekalan air dan kelestarian alam sekitar.
Singapura misalnya pernah memperlahankan pengembangan pusat data bagi menilai kesan terhadap kemampanan tenaga, manakala Ireland berdepan tekanan terhadap kapasiti grid elektrik akibat pertumbuhan pesat sektor tersebut.
Situasi ini menjadi peringatan yang Malaysia perlu mencari keseimbangan antara menarik pelaburan dan menjaga kepentingan jangka panjang negara. Aspek seperti tenaga boleh diperbaharui, kecekapan penggunaan sumber, keselamatan siber serta tadbir urus data perlu diberikan perhatian sejak peringkat awal pembangunan.
Pada masa sama, Malaysia perlu memastikan manfaat ekonomi daripada industri pusat data tidak hanya dinikmati oleh syarikat asing. Negara perlu membina ekosistem tempatan melalui pembangunan tenaga kerja berkemahiran tinggi, penglibatan vendor domestik, peningkatan keupayaan institusi pendidikan serta pemindahan teknologi.
Pendekatan negara juga perlu beralih daripada sekadar menarik pelaburan kepada membangunkan nilai tambah yang lebih besar. Pusat data perlu menjadi pemangkin kepada penciptaan pekerjaan berkualiti, pertumbuhan syarikat tempatan dan pengukuhan keupayaan teknologi negara.
Kejayaan sektor ini tidak boleh diukur hanya berdasarkan jumlah pelaburan yang diterima tetapi sejauh mana dapat meningkatkan daya saing Malaysia dalam ekonomi digital global.
Jika dirancang secara strategik, pusat data mampu menjadi lebih daripada sekadar infrastruktur teknologi. Malah, pusat data boleh menjadi asas kepada pembinaan ekonomi digital yang lebih kukuh, mempertingkat keselamatan negara serta menjadikan Malaysia pemain penting dalam landskap teknologi Asia. –UTUSAN
PROFESOR Dr. Nor Aziati Abdul Hamid ialah Penyelidik Bersekutu, Pusat Penyelidikan Pengurusan Operasi & Servis (CRSOM) Fakulti Pengurusan Teknologi & Perniagaan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).
The post Pusat data enjin baharu ekonomi negara appeared first on Utusan Malaysia.





