
PETALING JAYA: Setiap kali Harimau Malaya berdepan tugasan di luar kalendar FIFA, persoalan sama kembali menghantui pengurusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) ialah siapa sebenarnya mempunyai kuasa menentukan pemain yang boleh turun mewakili negara?
Isu pelepasan pemain bukan lagi sekadar soal kelab enggan melepaskan tonggak mereka, sebaliknya ia kini menyentuh soal kuasa, kepentingan dan hala tuju bola sepak negara apabila jadual kelab bertembung dengan tugasan skuad kebangsaan.
Bagi FAM, jurulatih skuad Harimau Malaya mungkin sudah merancang pasukan berdasarkan pemain terbaik yang tersedia, namun perancangan itu boleh berubah sekelip mata apabila kelab menggunakan hak mereka untuk tidak melepaskan pemain bagi tugasan yang tidak berada dalam jendela FIFA.
Akhirnya, skuad kebangsaan terpaksa mencari jalan alternatif, termasuk bergantung kepada pemain yang jauh lebih muda sedangkan misi yang dibawa tetap atas nama Malaysia.
Situasi ini bukan perkara baharu dan jika terus dibiarkan, ia boleh menjadi kitaran yang sukar diputuskan, malah setiap kali tugasan luar kalendar FIFA, FAM berdepan dilema sama manakala jurulatih pula terpaksa membentuk pasukan tanpa jaminan bahawa semua pemain pilihannya lebih sedia.
Justeru, mungkin sudah tiba masanya FAM tidak lagi sekadar meminta pelepasan pemain, sebaliknya menetapkan peraturan permainan yang perlu berfungsi mewajibkan kelab melepaskan pemain untuk tugasan antarabangsa sekalipun ia tidak berada dalam kalendar FIFA tetapi boleh menjadi pilihan yang wajar dipertimbangkan.
Sudah tentu, kepentingan kelab tidak boleh diketepikan kerana mereka mempunyai jadual pertandingan, sasaran liga dan komitmen terhadap pemain, namun pada masa sama, skuad kebangsaan juga memerlukan satu bentuk perlindungan agar persiapan negara tidak sentiasa bergantung kepada ihsan kelab.
Jalan tengah perlu dicari bersama Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan kelab bukan dengan mengetepikan kepentingan mereka tetapi dengan menetapkan lebih awal bila pemain wajib dilepaskan, bila kelab boleh menolak dan bagaimana pertindihan jadual harus diselesaikan. – UTUSAN
The post FAM perlu berani ‘ikat’ kelab lepaskan pemain appeared first on Utusan Malaysia.





