PM Anwar bakal bertemu pemimpin daripada 36 syarikat Itali, termasuk MNC di Rom

30 Jun 2025 • 8:40 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal mengadakan pertemuan penting bersama 36 syarikat utama Itali termasuk syarikat multinasional (MNC) gergasi seperti Leonardo SpA, STMicroelectronics dan Ferrero, sempena lawatan kerja sulung beliau ke Rom bermula 1 Julai ini.

image is not available

PM Anwar akan bertemu dengan pemimpin industri daripada 36 syarikat

Memetik laporan daripada Bernama, Duta Besar Malaysia ke Itali, Datuk Zahid Rastam menyatakan sesi persidangan Meja Bulat Perkongsian Ekonomi Malaysia-Itali akan berlangsung pada 2 Julai dengan penglibatan syarikat-syarikat Itali, persatuan industri serta beberapa syarikat Malaysia yang turut mengiringi Perdana Menteri.

“Selain 36 syarikat Itali dan beberapa persatuan industri di sini, pertemuan itu juga akan disertai syarikat Malaysia yang mengiringi Perdana Menteri,” ujarnya.

image is not available

36 syarikat tersebut antara yang utama di Itali & dunia

Menurut beliau, Leonardo SpA sangat dikenali dalam bidang aeroangkasa dan pertahanan, STMicroelectronics dalam sektor semikonduktor, manakala Ferrero ialah pengeluar coklat dan konfeksioneri gergasi dunia.

Difahamkan, kesemua syarikat ini sudah mempunyai kehadiran kukuh di Malaysia.

“Selain itu, terdapat syarikat Itali yang ingin terus melabur dan meneroka peluang untuk bekerjasama dengan Malaysia,” jelasnya lagi.

image is not available

Sekadar info, lawatan rasmi Anwar ke Itali, iaitu ekonomi ketiga terbesar EU dan kelapan dunia turut melibatkan pertemuan dua hala bersama Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni bagi membincangkan isu pelaburan, pertahanan, ekonomi digital dan agrokomoditi.

Kedua-dua pemimpin dijangka turut menyentuh rundingan semula Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-EU (MEUFTA) yang dijadual bermula 30 Jun di Brussels, dan dijangka dimuktamadkan pada tahun 2026. Pada tahun 2023, EU menyumbang 9.5% jumlah perdagangan barangan Malaysia dan kekal sebagai rakan dagang keempat terbesar negara.

Sumber: Bernama