PM Anwar sasar 500,000 rumah mampu milik berasaskan teknologi modular dibina dalam empat tahun

10 Nov 2026 • 3:30 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

PM Anwar sasar 500,000 rumah mampu milik berasaskan teknologi modular dibina dalam empat tahun Image from: PM Anwar sasar 500,000 rumah mampu milik berasaskan teknologi modular dibina dalam empat tahun amree10/11/2026 - 15:30 Gambar hiasan Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 10 Nov — Kerajaan menyasarkan pembinaan 500,000 rumah mampu milik dalam tempoh empat tahun sebagai sebahagian usaha mencapai sasaran sejuta unit menjelang 2035, dengan teknologi pembinaan modular bakal dimanfaatkan bagi mempercepat pelaksanaan projek serta mengurangkan kos.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penggunaan teknologi berkenaan dalam sektor pembinaan adalah perlu bai membantu negara untuk menyediakan kediaman dengan lebih cekap dan kos efektif tanpa menjejaskan aspek keselamatan, kualiti serta keselesaan penghuni.

 

"Sehubungan itu, teknologi pembinaan modular yang melibatkan penghasilan pelbagai komponen bangunan terus di kilang sebelum dibawa pula ke tapak untuk dipasang mampu menjadi antara pendekatan bagi mempercepat penyediaan rumah dan projek infrastruktur," jelas beliau.

 

Anwar yang juga merupakan Menteri Kewangan, menyatakan demikian ketika berucap merasmikan Minggu Pembinaan Antarabangsa (ICW) 2026 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di ibu negara, pada Selasa.

 

Di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) ujarnya, kerajaan menetapkan projek infrastruktur utama kerajaan dan institusi pengajian tinggi awam bernilai RM100 juta ke atas perlu mencapai sekurang-kurangnya 70% kandungan Sistem Binaan Berindustri (IBS).

 

Malaysia tambah beliau, juga perlu memperkukuhkan lagi tahap keupayaan pembuatan dan teknologi tempatan dalam pembinaan modular, serta bukannya hanya terus bergantung semata-mata kepada teknologi yang diimport dari luar negara.

 

rumah_DagangNews2026
Gambar hiasan

 

"Negara ini perlu membangunkan ekosistem yang membolehkan syarikat tempatan bukan lagi sekadar menggunakan teknologi modular, malah turut terlibat secara aktif dalam usaha pembangunan, pengeluaran dan pengkomersialannya," kata Anwar.

 

Peralihan itu jelas beliau, namun memerlukan keupayaan pembuatan domestik yang lebih kukuh, pelaburan, permintaan pasaran, tenaga kerja berkemahiran serta dasar dan peraturan yang menyokong perkembangan teknologi berkenaan.

 

Dalam pada itu, beliau menegaskan kepentingan proses tender yang kompetitif dan tadbir urus baik bagi memastikan ketelusan, mengurangkan kos tidak perlu serta membolehkan lebih banyak peruntukan disalurkan kepada pembangunan negara.

 

Anwar turut mahu kontraktor tempatan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), diberikan akses kepada pengetahuan, latihan, teknologi serta peluang perniagaan supaya dapat mengambil bahagian dalam perubahan ekosistem industri pembinaan.

 

"Usaha perluasan penggunaan teknologi modular dan penglibatan syarikat tempatan itu dijangka menjadi antara pendekatan penting kerajaan meningkatkan kecekapan sektor pembinaan, mempercepat penyediaan rumah mampu milik serta membangunkan keupayaan industri domestik," tambahnya. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved