liza04/11/2026 - 12:44 Gambar Urus Setia Penerangan Negeri Kelantan Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 4 Nov – Kerajaan Negeri Kelantan menawarkan rumah mampu milik pada harga serendah RM70,000 menerusi Dasar Rumah Mampu Milik Kelantan (DRMMK) 2026 yang turut membuka peluang pemilikan kediaman kepada golongan bujang dalam kategori berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40).
Dasar baharu itu menetapkan dua kategori kediaman iaitu Jenis A berharga antara RM70,000 hingga RM180,000 manakala Jenis B ditawarkan pada harga RM180,000 hingga RM250,000.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Hilmi Abdullah berkata peluasan kelayakan kepada golongan bujang merupakan antara penambahbaikan penting berbanding dasar terdahulu yang lebih mengutamakan pemohon berkahwin atau mempunyai keluarga.
Menurutnya, permohonan di bawah dasar berkenaan terbuka kepada isi rumah berpendapatan tidak melebihi RM11,000 sebulan merangkumi kumpulan B40 dan M40.
Harga mengambil kira kos pembangunan
Beliau berkata, had harga maksimum RM250,000 ditetapkan dengan mengambil kira kemampuan pembeli serta peningkatan kos pembangunan, khususnya harga bahan binaan.
“Had berkenaan juga lebih rendah berbanding paras harga rumah mampu milik di peringkat Persekutuan yang ditetapkan di bawah RM300,000.
“Dari segi spesifikasi, rumah Jenis A perlu mempunyai keluasan minimum 850 kaki persegi manakala Jenis B ditetapkan sekurang-kurangnya 1,000 kaki persegi bagi menyediakan ruang kediaman yang lebih selesa.
“Penetapan harga dan spesifikasi itu turut bertujuan menggalakkan lebih banyak pemaju membangunkan kediaman yang memenuhi keperluan golongan sasaran tanpa mengetepikan faktor kos pembinaan,” katanya.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Mohd Adanan Hassan (PAS-Kelaboran) pada Persidangan Kali Ketiga (Belanjawan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Kelantan Ke-15 Tahun 2026 di Kota Bharu hari ini.
Pemaju swasta perlu sediakan kuota 20%
Dalam pada itu, DRMMK 2026 turut mewajibkan penyediaan kuota rumah mampu milik sebanyak 20% daripada keseluruhan unit bagi setiap pembangunan perumahan swasta.
Ketetapan itu bertujuan memastikan sebahagian daripada unit kediaman yang dibangunkan pemaju swasta dapat ditawarkan kepada kumpulan berpendapatan rendah dan sederhana.
Hilmi berkata, kerjasama pemaju swasta penting bagi membantu kerajaan negeri memperluas penyediaan rumah yang berkualiti dan pada harga berpatutan, selain mencerminkan penglibatan sektor korporat dalam memenuhi tanggungjawab sosial.
Beliau berkata, dasar berkenaan merupakan kesinambungan inisiatif perumahan negeri yang mula diperkenalkan pada 2015 dan melalui pindaan pada 2020 sebelum DRMMK 2026 dikeluarkan secara rasmi pada 18 Mac 2026.
Secara keseluruhannya, dasar itu memberi tumpuan kepada penyediaan kediaman yang mencukupi, selesa dan sesuai didiami, selain mengambil kira nilai serta ciri-ciri Islamik dalam pembangunan perumahan untuk rakyat Kelantan. - DagangNews.com






