PM arah siasatan segera, telus kes kematian pelajar di Yong Peng

LocalPolitics
4 Oct 2026 • 12:12 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

PM arah siasatan segera, telus kes kematian pelajar di Yong Peng

SHAH ALAM, 4 OKT: Perdana Menteri mengarahkan pihak berkuasa menjalankan siasatan segera, menyeluruh dan telus berhubung kematian seorang pelajar perempuan Tingkatan Empat di sebuah sekolah di Yong Peng, Johor.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata siasatan itu perlu bagi mengenal pasti punca serta apa yang sebenarnya berlaku dalam kejadian berkenaan.

“Saya telah meminta pihak berkuasa menjalankan siasatan segera, menyeluruh dan telus bagi mengenal pasti punca serta apa yang sebenarnya berlaku.

“Jika terdapat unsur jenayah, tindakan tegas hendaklah diambil mengikut undang-undang,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Anwar turut menzahirkan rasa dukacita atas pemergian pelajar berkenaan serta menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga dan waris.

“Saya amat berdukacita menerima berita pemergian seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun yang ditemui meninggal dunia di sebuah sekolah di Yong Peng, Johor.

“Takziah kepada keluarga dan waris Allahyarhamah, moga mereka diberikan kekuatan dan ketabahan menghadapi ujian yang amat berat ini,” katanya.

Beliau turut menegaskan keselamatan anak-anak adalah tanggungjawab bersama dan kerajaan tidak akan berkompromi dalam memastikan keselamatan serta kesejahteraan mereka sentiasa terpelihara.

Terdahulu, Media Selangor melaporkan mangsa, Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, 16, ditemukan dalam keadaan terbaring dan lemah di dewan sekolah berkenaan kira-kira jam 5.30 petang semalam.

Susulan itu, polis menahan tiga pelajar lelaki berusia 16 tahun hari ini bagi membantu siasatan berhubung kematian pelajar terbabit.

Ketiga-tiga mereka yang merupakan pelajar sekolah sama ditahan beberapa jam selepas mangsa ditemukan neneknya petang semalam.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved