Kematian Irene Sofiya, PM Gesa Siasatan Menyeluruh, Telus

LocalPolitics
4 Oct 2026 • 2:49 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa dukacita atas kematian seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun yang mayatnya ditemui di sebuah sekolah di Yong Peng, Johor.

Beliau berkata, siasatan segera, menyeluruh dan telus perlu dijalankan pihak berkuasa bagi mengenal pasti punca kejadian serta perkara sebenar yang berlaku.

Menurutnya, tindakan undang-undang tegas harus diambil sekiranya siasatan mendapati wujud unsur jenayah.

“Jika terdapat unsur jenayah, tindakan tegas hendaklah diambil mengikut undang-undang,” katanya.

Tegas Perdana Menteri, keselamatan dan kebajikan kanak-kanak serta pelajar merupakan tanggungjawab bersama dan kekal sebagai keutamaan negara.

Katanya, kerajaan tidak akan berkompromi dalam memastikan keselamatan serta kesejahteraan golongan berkenaan sentiasa terpelihara.

Beliau turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa serta mendoakan mereka diberikan kekuatan dalam menghadapi dugaan berkenaan.

Terdahulu, tiga pelajar lelaki berusia 16 tahun yang merupakan rakan sekelas mangsa ditahan selepas remaja berkenaan ditemukan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah di dalam dewan sekolah kira-kira 5.30 petang semalam.

Seorang daripada suspek kemudiannya dibawa ke Mahkamah Majistret Batu Pahat pagi tadi bagi mendapatkan perintah reman.

Image from: Kematian Irene Sofiya, PM Gesa Siasatan Menyeluruh, Telus

Mangsa, Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, pelajar Tingkatan Empat, ditemukan oleh neneknya yang pergi ke sekolah selepas mangsa tidak pulang ke rumah setelah menghadiri kelas tuisyen.

Mangsa ditemukan terbaring di dalam dewan sekolah dengan kecederaan pada tubuh, termasuk kesan lebam teruk serta tompokan darah yang telah kering. 

Sebuah pasu seramik yang pecah turut ditemukan berhampiran lokasi kejadian.

Dalam perkembangan terbaharu, seorang remaja lelaki berusia 16 tahun direman selama enam hari bagi membantu siasatan kes disyaki membunuh Irene Sofiya.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, suspek yang merupakan remaja tempatan dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau itu ditahan kira-kira jam 7 malam Sabtu di sekitar Yong Peng.

Penahanan dilakukan sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Johor bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat.

Suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Batu Pahat pagi tadi dan mahkamah membenarkan perintah reman selama enam hari bermula Ahad hingga Jumaat, 9 Oktober.

Ab Rahaman berkata, polis menerima maklumat daripada orang awam kira-kira jam 5.50 petang Sabtu mengenai seorang remaja perempuan yang ditemukan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah di dalam dewan sebuah sekolah di Yong Peng.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati mangsa mengalami kecederaan parah pada beberapa bahagian kepala dan badan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Bedah siasat dijalankan di Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat, hari ini bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.

Polis turut merampas sebuah telefon bimbit, sepasang pakaian dan sepasang selipar milik suspek untuk membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Ab Rahaman berkata motif serta keadaan sebenar yang membawa kepada kejadian itu masih dalam siasatan.

Beliau pada masa sama menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau komen yang boleh menjejaskan siasatan yang sedang dijalankan. - Getaran, 4 Oktober 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved