PM arah siasatan penuh kematian pelajar di Yong Peng

LocalPolitics
4 Oct 2026 • 11:33 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: PM arah siasatan penuh kematian pelajar di Yong Peng

PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan pihak berkuasa menjalankan siasatan segera, menyeluruh dan telus berhubung kematian seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun yang ditemukan meninggal dunia di sebuah sekolah di Yong Peng, Johor.

Anwar berkata, siasatan itu penting bagi mengenal pasti punca kejadian serta perkara sebenar yang berlaku.

“Saya amat berdukacita menerima berita pemergian seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun yang ditemui meninggal dunia di sebuah sekolah di Yong Peng, Johor.

“Saya telah meminta pihak berkuasa menjalankan siasatan segera, menyeluruh dan telus bagi mengenal pasti punca serta apa yang sebenarnya berlaku,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, tindakan tegas perlu diambil sekiranya siasatan mendapati terdapat unsur jenayah dalam kejadian berkenaan.

“Jika terdapat unsur jenayah, tindakan tegas hendaklah diambil mengikut undang-undang,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar menegaskan keselamatan kanak-kanak dan pelajar merupakan tanggungjawab bersama yang perlu diberikan keutamaan.

“Kerajaan tidak akan berkompromi dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan mereka sentiasa terpelihara,” katanya.

Beliau turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga dan waris Allahyarhamah serta mendoakan mereka diberikan kekuatan dan ketabahan menghadapi ujian berkenaan.- KOSMO! ONLINE

The post PM arah siasatan penuh kematian pelajar di Yong Peng appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved