PM arah siasatan terperinci tragedi kemalangan di LPT1

LocalPolitics
1 Sep 2026 • 9:29 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: PM arah siasatan terperinci tragedi kemalangan di LPT1

PETALING JAYA: Perdana Menteri mengarahkan siasatan terperinci dijalankan bagi mengenal pasti punca kemalangan membabitkan 11 kenderaan di Kilometer 110.4, Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1, berhampiran susur keluar Plaza Tol Temerloh, di sini, semalam.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pihak berwajib perlu menjalankan siasatan dengan teliti bagi memastikan punca sebenar kejadian dikenal pasti.

“Saya telah meminta pihak berwajib menjalankan siasatan dengan teliti bagi mengenal pasti punca kejadian,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Anwar turut menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga mangsa yang terlibat dalam tragedi berkenaan.

Beliau mendoakan agar Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh semua mangsa serta memberikan kekuatan dan ketabahan kepada keluarga yang ditinggalkan.

“Innalillahi wa inna ilaihi raji’un. Takziah kepada seluruh keluarga mangsa tragedi kemalangan di Temerloh yang meragut nyawa, termasuk sebuah keluarga yang sedang dalam perjalanan pulang selepas menyambut Hari Kebangsaan,” katanya.

Tambahnya semua pengguna jalan raya diingatkan supaya lebih berhati-hati dan sentiasa mengutamakan keselamatan ketika berada di jalan raya.

Katanya, pematuhan terhadap peraturan jalan raya penting bagi mengelakkan kejadian tidak diingini, khususnya ketika melakukan perjalanan bersama keluarga.

“Kepada semua pengguna jalan raya, berhati-hatilah, patuhi peraturan dan utamakan keselamatan diri serta keluarga setiap kali berada di jalan raya,” katanya.

Media melaporkan empat termasuk tiga sekeluarga terbunuh serta tiga lagi cedera dalam kemalangan membabitkan 11 kenderaan di Kilometer 110.4, Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1, berhampiran susur keluar Plaza Tol Temerloh, di sini, semalam.

Kemalangan kira-kira 10 malam itu membabitkan sebuah lori tangki, sebuah bas, kereta (empat), kenderaan utiliti sukan (tiga), sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dan sebuah pikap.- UTUSAN

The post PM arah siasatan terperinci tragedi kemalangan di LPT1 appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved