PM bakal umum hala tuju, inisiatif Kerajaan Madani tangani isu kritikal negara pagi ini

LocalPolitics
5 Jan 2026 • 9:41 AM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka akan menyampaikan beberapa pengumuman penting pada pagi ini antara lain membabitkan hala tuju dan inisiatif yang bakal digerakkan Kerajaan Madani sepanjang tahun ini.

"Insya-Allah di perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri pagi ini, saya akan menyampaikan Perutusan Tahun Baharu 2026 yang menggariskan hala tuju, inisiatif dan beberapa pengumuman penting untuk digerakkan sepanjang tahun ini," kata Anwar dalam perkongsian ringkas di laman Facebook hari ini.

Pengumuman penting berkaitan isu kritikal negara itu akan disampaikan dalam Amanat Tahun Baharu bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM), hari ini.

Semalam Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, amanat berkenaan menyusul sejurus Anwar mempengerusikan mesyuarat khas Jemaah Menteri jam 9 pagi bagi membincangkan isu mendesak yang sedang dihadapi rakyat.

"Esok (hari ini) adalah hari Isnin pertama bulan Januari dan Perdana Menteri memanggil Jemaah Menteri untuk mesyuarat khas bagi membincangkan beberapa isu terdesak.

"Selepas itu, beliau akan menyampaikan Amanat Tahun Baharu jam 11.30 pagi bersama warga JPM yang dijangka menjadi platform penting untuk mengumumkan langkah baharu kerajaan," katanya ketika merasmikan Konvensyen Tahunan DAP Melaka Ke-25 di Melaka, semalam.

Loke berkata, pengumuman yang bakal dibuat itu mencerminkan keseriusan Perdana Menteri serta pimpinan kerajaan dalam menangani pelbagai isu rakyat, khususnya membabitkan sektor ekonomi, pendidikan dan reformasi institusi.

"Saya yakin esok (hari ini) akan ada beberapa pengumuman penting oleh Perdana Menteri yang menunjukkan komitmen tinggi kerajaan dalam menangani isu serta masalah yang dihadapi rakyat," katanya. - 5 Januari, 2026

The post PM bakal umum hala tuju, inisiatif Kerajaan Madani tangani isu kritikal negara pagi ini appeared first on Scoop.