
KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka menghadap Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah, di Bandar Seri Begawan minggu depan, selepas selesai menjalani prosedur perubatan baru-baru ini.
Anwar berkata, beliau menerima panggilan telefon daripada Sultan Hassanal Bolkiah yang bertanya mengenai keadaan kesihatannya serta mendoakan kesejahteraannya.
“Baginda berkenan bertanya khabar dan mendoakan kesihatan serta kesejahteraan saya.
"Saya amat menghargai doa dan keprihatinan Baginda. Saya juga mendoakan agar Baginda sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik serta berada dalam lindungan dan rahmat Allah SWT,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Anwar berkata, beliau dijadual menghadap Sultan Brunei minggu depan di Bandar Seri Begawan bersempena Konsultasi Pemimpin Tahunan ke-27 Malaysia-Brunei.
Konsultasi Pemimpin Tahunan berkenaan merupakan mekanisme dua hala peringkat tertinggi antara Malaysia dan Brunei, yang menjadi platform kedua-dua pemimpin menilai kerjasama sedia ada, membincangkan isu semasa serta bertukar pandangan mengenai perkembangan serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.
Pertemuan itu dijadual berlangsung selepas Anwar menjalani prosedur laparoskopi elektif pada 10 Ogos lalu bagi merawat hernia abdomen.
Ketua Pasukan Perubatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asri Rangga Abdullah Ramaiah, sebelum ini memaklumkan prosedur berkenaan berjaya dilakukan oleh pasukan pakar perubatan.
Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah, turut memaklumkan Anwar menjalani pemeriksaan perubatan dan akan berada di bawah pemantauan selama dua hari. - Getaran, 12 Ogos 2026


