PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim enggan mengulas lanjut kenyataan UMNO Negeri Sembilan yang dilaporkan sanggup menjadi pembangkang di negeri itu.
Menurutnya, kenyataan UMNO negeri itu masih belum jelas dan tidak wajar diperbesarkan.
“Setakat ini, saya tidak mahu komen kenyataan seperti itu kerana perkara berkenaan belum jelas,” katanya di sini pada Isnin.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai parti itu yang rela menjadi pembangkang daripada bersama Pakatan Harapan (PH) sebagai sebahagian daripada pentadbiran kerajaan negeri itu.
Terdahulu, Pengerusinya, Datuk Seri Jalaluddin Alias dilapor berkata, tindakan itu kerana pihaknya tidak mahu terpalit dengan kesalahan yang dilakukan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, terkait krisis adat dan Perlembagaan negeri berkenaan.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, krisis politik di Negeri Sembilan telah dimuktamadkan selepas beliau sendiri mendengar Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir.
Tegas beliau, kerajaan pusat kekal berpegang kepada prinsip menyokong sistem beraja serta mematuhi permintaan agar pentadbiran negeri terus stabil.
"Isunya tidak berbangkit kerana kita patuh kepada titah Diraja dan minta supaya keadaan stabil dan Menteri Besar diteruskan," jelas Anwar.
Isnin lalu, Jalaluddin mengumumkan kesemua 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO BN Negeri Sembilan sebulat suara menarik sokongan dan menyatakan hilang kepercayaan terhadap Aminuddin, sekali gus mencetuskan krisis politik di negeri itu.
Tindakan tersebut didakwa dibuat susulan krisis membabitkan institusi adat dan Perlembagaan Negeri Sembilan, yang tegasnya perlu dihormati serta dipertahankan tanpa campur tangan politik.
