
PERMATANG PAUH - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menghadiri pengebumian abangnya, Idrus Ibrahim, di Tanah Perkuburan Islam Cherok Tokun Bawah selepas solat Jumaat.
Beliau turut menyertai ratusan jemaah menunaikan solat jenazah di dewan sementara Masjid Cherok Tokun Bawah yang dipimpin Mufti Pulau Pinang, Profesor Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman.
Anwar kemudian berjalan mengiringi jenazah Idrus dari masjid ke tanah perkuburan yang terletak kira-kira 50 meter dari rumah keluarga, sekitar jam 2.10 petang.
Pengebumian itu turut disaksikan anggota keluarga, saudara-mara, pemimpin masyarakat serta penduduk setempat.
Bacaan talkin disempurnakan Imam 1 Masjid Jamek Cherok Tokun Bawah, Ustaz Tengku Zahari Tengku Baharom.
Ketika ditemui pemberita selepas pengebumian, Anwar merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang membantu menguruskan pengebumian serta mereka yang hadir memberikan penghormatan terakhir.
“Terima kasih kepada semua yang membantu. Terima kasih kepada penduduk Cherok Tokun dan sahabat-sahabat yang hadir. Terima kasih banyak,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri berjalan kaki dari rumah keluarga di Jalan Kilang Ubi bagi mengiringi jenazah yang dibawa menaiki van ke dewan sementara masjid berkenaan sekitar jam 12.20 tengah hari.
Idrus, 83, merupakan anak kedua daripada lapan beradik dan pernah berkhidmat sebagai guru besar Sekolah Kebangsaan Stowell.
Beliau meninggal dunia dalam tidur sekitar jam 6.10 petang semalam, dipercayai akibat faktor usia.
Dilahirkan pada 25 November 1943, Idrus meninggalkan balu, Faridah Hanim Mohd Ghouse, 80, empat anak serta 10 cucu. - Getaran, 25 September 2026






