PM Lulus Peruntukan Tambahan RM1 Juta, Bina Krematorium Hindu Di Seberang Perai

LocalPolitics
23 Aug 2026 • 5:27 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

PM Lulus Peruntukan Tambahan RM1 Juta, Bina Krematorium Hindu Di Seberang Perai

BUTTERWORTH - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM1 juta bagi pembinaan sebuah krematorium Hindu di Seberang Perai, bagi memenuhi keperluan komuniti Hindu di kawasan berkenaan.

Pesuruhjaya Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang (PHEB), Kumaran Krishnan, menyambut baik kelulusan peruntukan tambahan itu dan menyifatkannya sebagai bukti komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan, dalam memastikan kebajikan masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama terus diberi perhatian.

Beliau berkata, tambahan peruntukan berkenaan mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI untuk memastikan keperluan rakyat daripada latar belakang kaum dan agama berbeza dipenuhi secara adil serta inklusif.

“Ini mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI untuk memastikan keperluan rakyat daripada pelbagai kaum dan agama diberi perhatian secara adil dan inklusif,” katanya.

Kumaran berkata demikian pada sidang media di tapak projek krematorium PHEB di Jalan Siram, di sini.

Turut hadir, Pengerusi PHEB, RSN Rayer dan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng.

Sebelum ini, Kerajaan Persekutuan telah menyediakan peruntukan RM1.5 juta bagi pembinaan kemudahan berkenaan.

Bagaimanapun, jumlah tersebut didapati tidak mencukupi untuk menampung keseluruhan kos projek, menyebabkan PHEB memohon peruntukan tambahan daripada Kerajaan Persekutuan.

Krematorium baharu itu akan menyediakan kemudahan pembakaran mayat khusus untuk masyarakat Hindu di Seberang Perai, yang ketika ini bergantung kepada krematorium di Tanah Perkuburan Hindu Batu Lanchang.

Dengan tambahan RM1 juta itu, projek berkenaan dijangka dapat diteruskan dan disiapkan dengan lebih lancar, selain membantu memenuhi keperluan komuniti Hindu setempat yang telah lama memerlukan kemudahan khusus tersebut. - Getaran, 23 Ogos 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved