PM mahu projek Residensi Siswa UM bebas ketirisan, siap lebih awal

LocalPolitics
15 Oct 2026 • 7:37 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

PM mahu projek Residensi Siswa UM bebas ketirisan, siap lebih awal

KUALA LUMPUR, 15 OKT: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Projek Residensi Siswa Universiti Malaya (UM) dijadikan model pengurusan pembangunan yang bersih, cekap dan bebas daripada ketirisan serta pembaziran dana awam.

Beliau berkata pelaksanaan projek itu perlu mengambil iktibar daripada kelemahan pengurusan projek terdahulu yang menyaksikan peningkatan kos, kelewatan dan pembinaan terbengkalai sehingga menyebabkan kerugian kepada negara.

“Berapa banyak dana negara itu terbazir, bocor kerana pengurusannya lemah. Jadi, Naib Canselor, pastikan UM dan projek Residensi Siswa ini contoh yang patut diteladani oleh agensi-agensi lain.

“Anda boleh melaksanakan tugas dengan cemerlang, bersih, bebas daripada rasuah serta penuh dedikasi. Ini cabaran sebenar bagi kita,” katanya dalam ucapan perasmian pada Majlis Pelancaran Projek Residensi Siswa UM di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan timbalannya Adam Adli Abd Halim, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar serta Naib Canselor UM Prof Datuk Seri Dr Noor Azuan Abu Osman.

Anwar berkata projek berkenaan merupakan tanggungjawab besar perlu dilaksanakan dengan penuh dedikasi, selain menuntut komitmen semua pihak yang terlibat untuk memastikan ia disiapkan mengikut perancangan.

Beliau berkata isu ketirisan bukan berpunca daripada perbezaan kaum, wilayah atau kelas masyarakat, sebaliknya berkait dengan perbuatan tidak amanah yang menjejaskan kepentingan negara.

Justeru, Perdana Menteri berkata beliau akan memantau sendiri pelaksanaan projek berkenaan serta mahu ia disiapkan lebih awal daripada jadual asal pada 2030 bagi menangani masalah penginapan mahasiswa, khususnya peningkatan kadar sewa rumah di kawasan sekitar universiti.

Bagi memastikan pelaksanaannya dapat disegerakan, Anwar berkata beliau mengarahkan semua jentera kerajaan termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) untuk memberi keutamaan kepada projek berkenaan.

“Ini projek keutamaan kita yang mesti disiapkan dalam masa cepat. Bila saudara (Azuan) kata siap 2030, saya kata tidak. Inilah Kerajaan MADANI baharu yang cekap. Nanti kita akan cuba melaksanakan supaya dipercepatkan,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved