PM Anwar lancar projek kediaman 40,000 pelajar Universiti Malaya

15 Oct 2026 • 6:18 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

PM Anwar lancar projek kediaman 40,000 pelajar Universiti Malaya Image from: PM Anwar lancar projek kediaman 40,000 pelajar Universiti Malaya johardy15/10/2026 - 18:18 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 15 Okt - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan projek Residensi Siswa Universiti Malaya (UM), pembangunan kediaman pelajar dalam dua fasa yang mampu menempatkan sehingga 40,000 pelajar, sejajar usaha kerajaan memperluas infrastruktur pendidikan tinggi negara.

 

Fasa pertama projek itu yang dijadualkan siap menjelang 2030 akan menyediakan penginapan untuk 10,000 pelajar, manakala fasa kedua bakal menambah kapasiti bagi menempatkan 30,000 pelajar lagi, menurut kenyataan UM hari ini.

 

Pembangunan itu menawarkan empat kategori penginapan iaitu standard, standard premium, apartmen dan studio, dengan konfigurasi bilik berbeza serta kemudahan penyaman udara bagi semua kategori.

 

UM berkata, projek berkenaan akan menerapkan konsep kehidupan berkomuniti dengan menggabungkan kemudahan kediaman, ruang sosial dan kawasan bersama bagi menggalakkan interaksi dalam kalangan pelajar.


 

Xi
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada majlis pelancaran projek Residensi Siswa Universiti Malaya di Kolej Kediaman 5, Universiti Malaya. — Bernama

 

Naib Canselor UM, Datuk Seri Profesor Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman berkata, pembangunan itu mencerminkan komitmen universiti untuk memperkukuh kebajikan pelajar seiring usaha mencapai kecemerlangan akademik dan penyelidikan.

 

"Kita tidak boleh bercakap mengenai kecemerlangan pendidikan tinggi tanpa mengambil kira keperluan harian pelajar. Penyediaan penginapan yang selesa, selamat dan mampu milik mesti menjadi antara keutamaan pembangunan universiti," katanya.

 

Projek berkenaan merupakan sebahagian daripada Pelan Transformasi UM 2050 yang bertujuan mengintegrasikan kemudahan akademik, kediaman dan komuniti dalam kawasan kampus.

 

UM berkata, pembangunan secara berfasa itu turut membuka peluang kepada kerjasama strategik, termasuk potensi penyertaan konsortium syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), bagi meneroka model pembangunan yang mampan.

 

Pembangunan tersebut juga sejajar dengan agenda kerajaan untuk memperkukuh infrastruktur pendidikan tinggi menerusi Belanjawan 2027 dan Rancangan Malaysia.

 

Majlis pelancaran projek itu berlangsung di Kolej Kediaman 5, kampus UM di Kuala Lumpur. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved