PM Singapura hargai kehidupan, legasi luar biasa Tun Dr Hasmah

LocalPolitics
28 Sep 2026 • 9:06 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: PM Singapura hargai kehidupan, legasi luar biasa Tun Dr Hasmah
Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong

SINGAPURA - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong memberi penghormatan kepada Allahyarham Tun Dr Hasmah Mohd Ali, mengenang doktor perintis itu atas sumbangannya dalam bidang penjagaan kesihatan, pendidikan dan kebajikan sosial yang menyentuh kehidupan generasi rakyat Malaysia.

Dalam menyampaikan ucapan takziah kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan keluarga, Wong berkata, Dr Hasmah menjalani kehidupan yang luar biasa.

"Sebagai perintis dalam bidangnya, beliau memberikan sumbangan penting kepada penjagaan kesihatan, pendidikan dan kebajikan sosial di Malaysia. Sumbangan beliau menyentuh kehidupan generasi rakyat Malaysia.

"Selain sumbangannya kepada masyarakat, beliau akan dikenang kerana sifat mesra, anggun dan semangatnya dalam menjalani kehidupan. Beliau membawa kemesraan dan semangat dalam segala yang dilakukannya dan akan sentiasa dikenang dengan penuh kasih oleh semua yang mengenalinya,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.

Sementara itu, Menteri Luar Singapura, Dr Vivian Balakrishnan memberikan penghormatan kepada sumbangan Dr Hasmah sebagai perintis dalam bidang perubatan dan kesihatan awam, dengan menyatakan bahawa kehidupan dan kerjayanya membuka jalan bagi generasi wanita dalam profesion berkenaan.

"Beliau memulakan kerjayanya pada waktu apabila tidak ramai doktor wanita di Malaysia dan seterusnya memperjuangkan kesihatan serta kesejahteraan wanita, kanak-kanak, dan masyarakat luar bandar.

"Kehidupan dan kerjayanya membuka peluang kepada ramai orang selepas beliau, dan beliau menunjukkan bagaimana perubatan, pada tahap terbaiknya, bukan sahaja mengenai merawat pesakit, tetapi juga meningkatkan taraf hidup dan berkhidmat kepada masyarakat," katanya dalam hantaran di Facebook.

Pada 1947, Dr Hasmah mendaftar di Kolej Perubatan King Edward VII di Singapura dan merupakan satu-satunya wanita Melayu yang menuntut dalam bidang perubatan di institusi itu pada tahun berkenaan.

Selepas mengharungi cabaran latihan perubatan, beliau menamatkan pengajian pada Jun 1955, sekali gus menjadi antara wanita Melayu terawal menceburi profesion perubatan pada zaman yang ketika itu masih didominasi oleh golongan lelaki.

Dr Hasmah meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur pada pagi Isnin pada usia 100 tahun.

Jenazah beliau dikebumikan di Pusara Negara, Presint 20 Putrajaya pada 6.20 petang Isnin, dengan Dr Mahathir, anak-anak serta anggota keluarga hadir. - Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved