PM Solat Jumaat Di Masjid Putra, Akui Hari Pertamanya ‘Baik, Sibuk’

Politics
25 Nov 2022 • 3:08 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Ini merupakan kehadiran sulung Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10 selepas mengangkat sumpah petang semalam - Gambar oleh Azim Rahman

PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menunaikan solat Jumaat di Masjid Putra di sini, hari ini.

Beliau tiba di masjid tersebut kira-kira jam 1.01 tengah hari disambut beberapa Ahli Jawatankuasa masjid serta jemaah lain.

Ia merupakan kehadiran sulung Anwar sebagai Perdana Menteri ke-10 selepas mengangkat sumpah petang semalam.

image is not available
Anwar Ibrahim tiba di masjid tersebut kira-kira jam 1.01 tengah hari disambut beberapa Ahli Jawatankuasa masjid serta jemaah lain - Gambar oleh Azim Rahman

Bacaan khutbah dan solat Jumaat dipimpin Imam Besar Masjid Putra, Ustaz Salahuddin Ghozali.

Khutbah Jumaat hari ini menyentuh mengenai tanggungjawab yang perlu dipikul terhadap seorang pemimpin yang telah dipilih.

Sebaik selesai menunaikan solat Jumaat, beliau bersalaman dan meluangkan masa beramah mesra dengan kira-kira 3,000 jemaah yang kebanyakannya terdiri daripada kakitangan kerajaan dan orang awam.

Laungan Reformasi turut kedengaran semasa Anwar keluar dari masjid.

image is not available
Sebaik selesai menunaikan solat Jumaat, beliau bersalaman dan meluangkan masa beramah mesra dengan kira-kira 3,000 jemaah - Gambar oleh Azim Rahman

Ketika ditanya mengenai hari pertamanya bertugas sebagai Perdana Menteri, Anwar berkata, semuanya dalam keadaan baik dan beliau juga sibuk.

“Baik, baik dan sibuk. Terus meneroka dan meneroka apa yang perlu,” katanya sambil tersenyum.

Anwar, 75, mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri ke-10 di hadapan Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, petang semalam.

Al-Sultan Abdullah memberi perkenan pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri selaras Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Ia selepas Seri Paduka mengadakan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu mengenai proses melantik Perdana Menteri susulan Pilihan Raya Umum ke-15 (19 November) lalu. - Getaran 25 November 2022