
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggalakkan rakyat untuk menggunakan aplikasi navigasi TuJu bagi menggantikan Waze.
Langkah tersebut merupakan cadangan alternatif susulan risiko keselamatan maklumat serta data pergerakan rakyat dek kerana aplikasi Waze yang terikat dengan undang-undang kerajaan Israel.
Malah, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar menerusi surat edaran bertarikh 20 Oktober turut mengeluarkan larangan penggunaan Waze dalam kalangan penjawat awam berkuat kuasa serta merta.
Baca Artikel Berkaitan: Berkuat-Kuasa Serta Merta, Penjawat Awam Dilarang Guna Aplikasi Navigasi Waze
Lim Guan Eng Sifatkan TuJu Memalukan Negara, Perlu Nilai Sewajarnya Sebelum Ganti Fungsi Waze
Terbaharu, Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng menyifatkan aplikasi TuJu sebagai pengganti Waze sebagai satu perkara yang memalukan negara.
Ia susulan terdapat dakwaan mengenai kelemahan fungsi aplikasi itu yang menyusahkan pengguna.
Jelas Lim dalam satu hantaran di Facebook, meskipun ramai yang menyokong usaha kerajaan untuk melindungi kepentingan keselamatan negara, namun dia berpendapat, penilaian yang sewajarnya perlu dilakukan bagi memastikan aplikasi itu betul-betul dapat menandingi fungsi yang ditawarkan oleh Waze.
“Pelancaran aplikasi navigasi tempatan TuJu yang dibangunkan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai alternatif kepada Waze untuk keperluan navigasi jalan raya ternyata menjadi sesuatu yang memalukan negara.
“Walaupun ramai menyokong usaha kerajaan untuk melindungi kepentingan keselamatan negara, penilaian sewajarnya dan ujian yang ketat perlu dijalankan bagi memastikan aplikasi pengganti, TuJu, benar-benar mampu menandingi serta menggantikan fungsi asas navigasi jalan raya yang ditawarkan oleh Waze,” katanya.
Ada Terima Aduan Aplikasi TuJu Hanya Menyusahkan Pengguna
Jelas Lim lagi, dia banyak menerima aduan daripada pengguna mengenai ketidakberkesanan aplikasi TuJu.
“Maklum balas pengguna setakat ini menunjukkan bahawa penggunaan aplikasi TuJu hanya akan menyusahkan pengguna.
“Saya telah menerima aduan mengenai ketidakberkesanan TuJu dan bahawa kerajaan tidak sepatutnya mewajibkan penggunaannya sebagai pengganti Waze.
“Rakyat Malaysia menyokong penggantian aplikasi Waze kerana risiko keselamatan yang berkaitan dengan maklumat dan data pergerakan rakyat, memandangkan aplikasi itu tertakluk kepada undang-undang kerajaan Israel.
“Namun, mereka tidak menyokong penggantiannya dengan aplikasi yang dalam keadaan terbaik sekalipun masih mempunyai kecacatan, manakala dalam keadaan terburuk pula gagal berfungsi,” katanya.
Lim Guan Eng Dakwa Perdana Menteri Telah Diberi Nasihat Yang Salah
Lim yang juga Penasihat DAP mendakwa Anwar telah diberi nasihat yang salah.
Malah, dia berpendapat Anwar perlu menjelaskan kepada rakyat mengenai kos yang ditanggung oleh kerajaan dalam pembangunan aplikasi tersebut.
“Jelas sekali, Perdana Menteri telah diberikan nasihat yang salah. Datuk Seri Anwar juga harus menjelaskan kepada rakyat berapakah kos yang ditanggung oleh kerajaan untuk membangunkan TuJu?
“Individu yang bertanggungjawab meyakinkan Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa TuJu mempunyai keupayaan teknologi yang mencukupi untuk menggantikan Waze harus dipersalahkan dan dikenakan tindakan.
“Adakah pihak yang mereka bentuk TuJu mendapatkan nasihat pakar daripada golongan profesional dari Amerika Syarikat, Eropah, China atau Jepun?
“Perdana Menteri harus menilai semula perancangan dari awal dengan meminta Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN) membangunkan versi TuJu yang jauh lebih baik dan mampu berfungsi sebagai pengganti Waze yang berkesan.
“Bagaimanakah JKSN boleh diharapkan untuk menjalankan tanggungjawabnya dalam menangani ancaman siber yang sentiasa berkembang, memperkukuh kesiapsiagaan negara dan kedaulatan digital, sedangkan keperluan asas pengguna untuk navigasi jalan raya pun tidak dapat dipenuhi?” katanya.
Kerajaan Tambah Baik Aplikasi TuJu
Sebelum ini, Menteri Digital, Gobind Singh Deo menjelaskan kerajaan akan menambah baik keupayaan aplikasi TuJu ekoran aduan pengguna mengenai prestasi aplikasi berkenaan.
Malah jelasnya, kerajaan tidak mengehadkan penggunaan aplikasi navigasi kepada TuJu semata-mata.
Sebaliknya, pengguna masih boleh menggunakan aplikasi lain seperti Google Maps.
Tambah Gobind, larangan penggunaan aplikasi Waze hanya terpakai bagi urusan rasmi kerajaan dan perkhidatan awam ekoran kepentingan keselamatan data dan perundangan.
Baca Artikel Berkaitan: Berkuat-Kuasa Serta Merta, Penjawat Awam Dilarang Guna Aplikasi Navigasi Waze
Baca Artikel Berkaitan: Kereta Penuh Tapak Tangan Misteri, Lelaki Sesat Di Hutan Hingga Lewat Malam Gara-gara Waze





