
KUALA LUMPUR - Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) memohon maaf kepada pengguna aplikasi navigasi tempatan, TuJu, susulan gangguan perkhidmatan yang dipercayai berpunca daripada peningkatan mendadak jumlah pengguna.
Dalam kenyataan hari ini, LLM memaklumkan pihaknya akan bekerjasama dengan penyedia aplikasi berkenaan, Prosignal Consortium Sdn Bhd, bagi mengenal pasti punca gangguan, menstabilkan sistem serta meningkatkan kapasiti aplikasi untuk menampung pertambahan pengguna.
“LLM memohon maaf atas kesulitan yang dialami pengguna,” menurut kenyataan itu.
LLM turut mengambil maklum maklum balas pengguna berhubung fungsi navigasi, ketepatan laluan serta pengalaman penggunaan aplikasi secara keseluruhan.
Sehubungan itu, beberapa penambahbaikan akan dilaksanakan bagi memastikan TuJu beroperasi dengan lebih stabil, tepat dan mesra pengguna.
Menurut LLM, usaha menaik taraf aplikasi itu akan diteruskan, merangkumi aspek kestabilan sistem, fungsi navigasi, ketepatan maklumat serta keupayaan memenuhi keperluan pengguna.
Pihaknya turut mengakui kepercayaan pengguna perlu dibina menerusi penyampaian perkhidmatan yang boleh diharap.
Dalam pada itu, LLM akan meneruskan kerjasama dengan Kementerian Kerja Raya, Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) serta pihak berkaitan bagi memperkukuh ekosistem navigasi tempatan, termasuk menangani isu keselamatan dan tadbir urus data.
Peningkatan jumlah pengguna TuJu berlaku susulan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, supaya aplikasi berkenaan digunakan sebagai alternatif kepada Waze, platform navigasi yang diasaskan di Israel.
Kerajaan turut mengarahkan penjawat awam menghentikan penggunaan Waze susulan keputusan yang dibuat dalam mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara pada 20 Oktober lalu.
Arahan itu disampaikan menerusi surat yang dikeluarkan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Bagaimanapun, TuJu menerima kritikan daripada pengguna di media sosial, termasuk Threads, berhubung masalah navigasi, maklumat insiden trafik semasa yang terhad serta gangguan teknikal yang menjejaskan pengalaman penggunaan aplikasi berkenaan. - Getaran, 22 Oktober 2026





