
KUALA LUMPUR - Kemenangan aktor terkenal India, C Joseph Vijay dalam pilihan raya Tamil Nadu bukan hanya menerima respon peminat, tetapi turut menarik perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menerusi hantaran di Facebook, Perdana Menteri berkata, ‘revolusi satu jari’ atau Oru Viral Puratchi yang dibawa Vijay di layar perak akhirnya menjadi kenyataan.
Menurut beliau, aktor tersebut kini berdepan amanah berat sebagai Ketua Menteri Tamil Nadu, untuk mentadbir negeri itu dengan cemerlang.
“Saya mengucapkan tahniah dengan penuh ikhlas kepada sahabat saya, Vijay, atas pelantikannya sebagai Ketua Menteri Tamil Nadu.
“Selama bertahun-tahun, para peminat setianya menyaksikan beliau menewaskan ahli politik korup dan pelbagai penjahat dalam tempoh tiga jam, biasanya selepas satu waktu rehat yang singkat,” katanya berjenaka, merujuk kepada barisan filem lakonan aktor berkenaan.
Jelas Anwar, tanggungjawab digalas Vijay jauh lebih besar daripada mana-mana watak yang pernah dibawanya di layar perak.
“Oru Viral Puratchi, revolusi satu jari’ kini berada di ambang mencipta sejarah,” katanya.
Beliau berkata, Malaysia dan Tamil Nadu berkongsi hubungan sejarah, budaya dan ikatan rakyat yang mendalam merentasi generasi.
“Saya menantikan peluang untuk bekerjasama rapat dengan Ketua Menteri Vijay pada tahun-tahun mendatang,” katanya.
Vijay dilantik sebagai Ketua Menteri Tamil Nadu yang baharu, selepas parti diterajuinya, Tamilaga Vettri Kazhagam (TVK) mengungguli pilihan raya.
Mengangkat sumpah kelmarin, Vijay berikrar menjadi suara rakyat dan membawa perubahan menyeluruh ke atas lanskap pentadbiran Tamil Nadu.
Memberikan ucapan sulung dengan penuh emosi di Stadium Nehru, Chennai, beliau berkata, kemenangan diperoleh adalah petanda kebangkitan rakyat yang sekian lama dahagakan perubahan lebih bersih, telus dan jujur. - Getaran, 12 Mei 2026






