PM UK ‘perangi’ diskaun palsu untuk tangani kos hidup

WorldPolitics
10 Aug 2026 • 10:30 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: PM UK ‘perangi’ diskaun palsu untuk tangani kos hidup

LONDON: Perdana Menteri United Kingdom (UK), Andy Burnham berikrar untuk mengambil tindakan tegas terhadap langganan yang sukar dibatalkan serta diskaun palsu sebagai sebahagian daripada langkah menangani krisis kos sara hidup, menurut pejabatnya di Downing Street pada Ahad.

Pengumuman itu dibuat ketika pemimpin baharu Parti Buruh tersebut dijadual kembali bertugas selepas bercuti dan memulakan lawatan ke seluruh negara untuk bertemu rakyat serta mendengar mengenai tekanan kewangan yang mereka hadapi, menurut pejabatnya.

Dalam satu kenyataan, Burnham berkata, orang ramai sudah muak dan bosan dengan diskaun yang menipu dan perangkap langganan.

Ia termasuk langganan yang sukar dibatalkan atau diperbaharui secara automatik pada kos yang lebih tinggi, katanya..

Beliau berkata, kerajaan pimpinannya akan memastikan proses membatalkan langganan semudah proses untuk menyertainya.

Ketika ini, pengguna Britain dianggarkan membelanjakan £1.6 bilion (RM8.82 bilion) setahun untuk langganan yang sebenarnya tidak mereka kehendaki, kata Downing Street.

Peraturan baharu akan berkuat kuasa pada Januari tahun depan dengan mewajibkan syarikat memberikan pelanggan maklumat awal yang lebih jelas, peringatan berkala dan cara yang jauh lebih mudah untuk menamatkan kontrak, katanya.

Kerajaan turut mengumumkan tempoh bertenang selama 14 hari bagi membolehkan pengguna membatalkan langganan selepas tempoh percubaan tamat atau kontrak jangka panjang diperbaharui..

Burnham turut berjanji untuk menangani dakwaan mengelirukan kepada pelanggan mengenai diskaun yang dibuat berdasarkan harga penuh yang sengaja dinaikkan.

Akhbar The Mirror melaporkan lawatan kos sara hidup beliau pada bulan ini akan meliputi semua wilayah yang membentuk United Kingdom (UK), termasuk tempat seperti Port Talbot di Wales, sebuah bekas bandar industri keluli yang kini mengalami kemerosotan ekonomi.

“Saya akan bertanya satu soalan: apakah yang sebenarnya boleh menjadikan kehidupan anda lebih baik?” kata Burnham kepada akhbar berhaluan kiri itu.

Selepas memegang jawatan, perdana menteri itu berjanji untuk merangka pelan 10 tahun bagi negara tersebut.

Antara pengumuman pertamanya termasuk pengurangan cukai ke atas bil tenaga yang meningkat akibat perang AS-Iran, penetapan had harga tiket bas dan pengurangan kadar cukai perniagaan untuk pub. – AFP

 

The post PM UK ‘perangi’ diskaun palsu untuk tangani kos hidup appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved