PMCK meterai perjanjian taja jamin dengan Malacca Securities untuk IPO di Pasaran ACE

07/05/2025 - 12:55
Oleh 'AINA SYAZWINA
KUALA LUMPUR 7 Mei – Penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan swasta, Pusat Perubatan Komuniti Kulim (PMCK) Berhad menandatangani perjanjian taja jamin dengan Malacca Securities Sdn Bhd bagi tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran ACE Bursa Malaysia.
Malacca Securities akan menaja jamin 98.15 juta saham, terdiri daripada 54.53 juta saham untuk langganan orang awam Malaysia dan 43.62 juta saham kepada individu yang layak.
IPO itu melibatkan terbitan 272.6 juta saham baharu dan penjualan 32.72 juta saham sedia ada kepada pelabur terpilih melalui penempatan persendirian.
Daripada jumlah saham baharu itu, 54.53 juta saham diperuntukkan kepada orang awam Malaysia melalui undian, manakala 43.62 juta saham dikhaskan kepada pengarah, pekerja, dan penyumbang yang layak.
Sebanyak 136.33 juta saham akan diperuntukkan kepada pelabur bumiputera terpilih yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), manakala baki 38.12 juta saham ditawarkan melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.
Menurut PMCK, hasil kutipan daripada IPO itu akan digunakan untuk beberapa inisiatif strategik termasuk pembayaran semula pinjaman bank, terutamanya yang berkaitan dengan pembinaan pusat perubatan komuniti.
Sebahagian dana juga akan digunakan untuk pemerolehan peralatan, manakala baki akan digunakan untuk menampung perbelanjaan penyenaraian.
Pengarah Urusan, Datuk Gaik Cheng berkata, dengan lebih 80% pesakit berulang dan kadar penggunaan katil sebanyak 71% bagi tahun kewangan 2024, syarikat itu telah menjadi nama yang dipercayai di wilayah utara.
"PMC Kulim merupakan pencapaian penting dalam usaha memperluas akses penjagaan kesihatan di Kedah, Perlis, dan Pulau Pinang.
"Perjanjian taja jamin bersama Malacca Securities menandakan langkah penting dalam perjalanan pertumbuhan kami," katanya dalam satu kenyataan.
Malacca Securities bertindak sebagai penasihat utama, penaja, penjamin, dan ejen penempatan bagi IPO tersebut.
PMCK dijangka disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada suku ketiga 2025.- DagangNews.com
standard


