
KUALA LUMPUR 22 Dis – Landskap perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) Malaysia berada pada trajektori kukuh bagi separuh kedua 2025 (2H25), menurut Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Berhad (SME Bank).
Berdasarkan Indeks Sentimen PKS terkini, indeks keseluruhan meningkat kepada 56.8 mata berbanding 55.1 mata pada separuh pertama 2025, mencerminkan jangkaan yang lebih positif terhadap keadaan ekonomi semasa, prospek jualan dan peluang pekerjaan walaupun berdepan tekanan luaran.
Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Samad Majid Zain berkata, PMKS tempatan terus menunjukkan daya tahan yang tinggi, disokong asas ekonomi negara yang semakin stabil.
Menurut beliau, kaji selidik itu mendapati 68% responden menjangkakan jualan yang lebih tinggi, manakala 53% merancang untuk menambah tenaga kerja bagi memenuhi peningkatan permintaan pasaran.
“Indeks ini mencerminkan persekitaran operasi yang positif walaupun komuniti perniagaan berdepan cabaran seperti tarif import luaran yang lebih tinggi, peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) serta pelarasan kos elektrik.
“Keyakinan paling ketara direkodkan dalam segmen pembuatan, dengan 89% perniagaan menjangkakan pertumbuhan positif, menandakan kesediaan mereka menghadapi peningkatan aktiviti pelaburan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Ketua Analisis Ekonomi SME Bank, Mazlina Abdul Rahman berkata, walaupun 58% perusahaan menjangkakan ekonomi berkembang, wujud jurang sentimen yang ketara mengikut saiz perniagaan.
Menurutnya, perusahaan mikro kekal paling optimistik dengan 65%, berbanding hanya 44% bagi firma bersaiz sederhana yang lebih terkesan oleh peningkatan kos operasi serta ketidaktentuan faktor luaran.
Dari segi kedudukan kewangan, aliran tunai perniagaan menunjukkan pemulihan apabila peratusan PMKS yang mempunyai rizab kurang daripada enam bulan menurun kepada 31%, manakala perusahaan dengan rizab melebihi tiga tahun meningkat kepada 15%.
Bagaimanapun, permintaan terhadap pembiayaan kekal tinggi, dengan 81% responden merancang mendapatkan dana tambahan sama ada bagi modal kerja atau tujuan pengembangan perniagaan.
Tinjauan yang dijalankan antara Julai hingga Oktober 2025 itu melibatkan 1,971 usahawan merentasi 40 sektor, sekali gus menjadi rujukan penting dalam menilai hala tuju sebenar ekonomi Malaysia menjelang 2026. - DagangNews.com

