PMKS kekal berkembang di sebalik tekanan geopolitik global

LocalBusiness & Finance
31 Jul 2026 • 2:28 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: PMKS kekal berkembang di sebalik tekanan geopolitik global

KUALA LUMPUR: Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) negara terus mencatat pertumbuhan memberangsangkan pada tahun lalu meskipun ekonomi dunia berdepan ketidaktentuan geopolitik global.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong berkata, pencapaian itu membuktikan PMKS tempatan mempunyai asas yang kukuh dan mampu menyesuaikan diri dengan perubahan persekitaran ekonomi global.

Menurutnya, Malaysia yang mengamalkan ekonomi terbuka sememangnya tidak terlepas daripada menerima tempias perkembangan dunia termasuk perang tarif, konflik geopolitik, perubahan dinamik negara rakan dagang serta gangguan rantaian bekalan.

“Tahun ini kita melihat Selat Hormuz, tentu orang akan rasa lebih mencabar kerana ia memberi kesan yang hampir secara langsung kepada kos tenaga.

“Kita juga berhadapan dengan ketidaktentuan politik dan krisis ekonomi dunia akibat isu seperti perang tarif, perang perdagangan yang berlanjutan serta peperangan yang sedang berlaku di Ukraine dan Gaza.

“Semua ini bukan sahaja menjejaskan rantaian bekalan global, malah menyebabkan pengalihan modal akibat ketidaktentuan yang berlaku,” katanya ketika Sidang Media Prestasi PMKS 2025 di sini, hari ini.

Semalam, media melaporkan bahawa Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mengumumkan bahawa Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) PKMS Malaysia naik 5.7 peratus pada 2025, mengatasi pertumbuhan KDNK keseluruhan negara sebanyak 5.2 peratus.

DOSM memaklumkan bahawa nilai tambah PMKS meningkat kepada RM689.8 bilion pada 2025 daripada RM652.8 bilion pada 2024, menyumbang 39.7 peratus daripada KDNK Malaysia.

Sementara itu, Steven berkata, pada tahun lalu, hampir 1.3 juta PMKS merangkumi 96 peratus daripada keseluruhan perniagaan di Malaysia, meningkat hampir 20 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Bagaimanapun, beliau berkata, 77 peratus daripada PMKS masih merupakan perusahaan mikro, manakala hanya 1.1 peratus berada dalam kategori sederhana.

“Cabaran sebenar kita bukan sekadar melahirkan lebih banyak perniagaan, tetapi memastikan perniagaan Malaysia boleh menaik skala, perusahaan mikro naik menjadi kecil, perusahaan kecil berkembang menjadi sederhana dan lebih banyak syarikat tempatan mampu menembusi pasaran global.

“Pertumbuhan ini mesti diterjemahkan kepada syarikat yang lebih produktif, inovatif dan berdaya saing,” katanya.

Beliau berkata, prestasi eksport PMKS pada tahun lalu turut membuktikan bahawa PMKS Malaysia mempunyai asas yang kukuh serta mampu menyesuaikan diri dengan perubahan pasaran global.

“Pencapaian ini sekali lagi memberi isyarat kepada kerajaan bahawa tumpuan kini perlu diberikan kepada usaha menterjemahkan pertumbuhan tersebut kepada lebih banyak syarikat yang produktif, berskala lebih besar, inovatif dan berdaya saing di peringkat global,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan pelancaran Buku Panduan Pantas Penggunaan FTA oleh SME Corp. Malaysia bagi membantu PMKS memanfaatkan 17 Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) yang telah dimeterai Malaysia.

Selain, SME Corp. Malaysia turut bertukar dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Malaysia-China Chamber of Commerce (MCCC) dan Small and Medium Enterprises Association (SAMENTA) dalam usaha mengukuhkan rangkaian PMKS di negara ini. – UTUSAN

 

The post PMKS kekal berkembang di sebalik tekanan geopolitik global appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved