Konflik geopolitik tidak patahkan pertumbuhan PMKS

LocalBusiness & Finance
31 Jul 2026 • 1:46 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Konflik geopolitik tidak patahkan pertumbuhan PMKS

KUALA LUMPUR – Ketegangan geopolitik dunia termasuk konflik di Asia Barat dan gangguan rantaian bekalan global tidak menghalang perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) Malaysia daripada terus mencatat pertumbuhan positif sepanjang 2025.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop), Steven Sim Chee Keong berkata, Malaysia sebagai sebuah ekonomi terbuka sememangnya menerima tempias daripada pergolakan global, namun sektor PMKS kekal berkembang lebih pantas berbanding pertumbuhan ekonomi negara secara keseluruhan.

Beliau berkata, ketegangan geopolitik menyebabkan peningkatan kos tenaga, gangguan rantaian bekalan serta kelembapan ekonomi negara rakan dagang yang akhirnya memberi kesan kepada perniagaan tempatan.

“Malaysia ialah sebuah ekonomi terbuka, jadi apabila berlaku peperangan atau ketegangan geopolitik, ia memberi kesan kepada rantaian bekalan, harga dan akses mendapatkan bekalan.

“Walaupun berdepan pelbagai cabaran, ekonomi Malaysia kekal stabil dan PMKS terus berkembang dengan kadar lebih pantas daripada ekonomi negara secara keseluruhan,” katanya pada sidang akhbar prestasi ekonomi PMKS 2025 di SME Corp, Platinum Sentral, Kuala Lumpur, hari ini.

Menurutnya, kerajaan turut meningkatkan peruntukan pembangunan PMKS daripada RM50 bilion kepada RM60 bilion bagi membolehkan syarikat tempatan terus berkembang dan memanfaatkan peluang perubahan landskap geoekonomi dunia.

Selain itu, katanya, kerajaan memperkenalkan SME Stabilization Relief Fund bernilai RM5 bilion bagi membantu syarikat yang terjejas akibat krisis geopolitik di samping melaksanakan pelbagai langkah mengurangkan kos operasi perniagaan.

Beliau berkata, kerajaan juga menyusun semula strategi pembangunan PMKS menerusi kerangka ABCD yang memberi tumpuan kepada peningkatan produktiviti, pengurangan birokrasi, akses pembiayaan dan peluasan pasaran.

Tambahnya, pembiayaan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional turut dinaikkan kepada RM1 bilion tahun ini, dengan lebih RM540 juta telah diluluskan kepada kira-kira 26,000 usahawan dalam tempoh enam bulan pertama, termasuk hampir 10,000 peserta baharu.

Mengulas prospek ekonomi, Steven Sim berkata, kerajaan kekal optimis meskipun dunia sedang berdepan pelbagai krisis yang mengubah landskap politik, perdagangan dan ekonomi global.

“Walaupun dunia berdepan pelbagai krisis yang mengubah struktur politik, perdagangan dan ekonomi global, kita masih melihat pertumbuhan yang positif dan kerajaan akan terus mengambil langkah proaktif untuk mengurangkan impaknya terhadap perniagaan serta rakyat Malaysia,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post Konflik geopolitik tidak patahkan pertumbuhan PMKS appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved