SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencuri perhatian apabila membalas jemputan seorang murid yang memanggilnya 'Uncle Anwar' dan menjemput beliau menghadiri Hari Kantin di sekolahnya pada Sabtu.
Menerusi perkongsian di aplikasi Threads, Anwar memaklumkan beliau teringin untuk memenuhi jemputan murid berkenaan.
Bagaimanapun, beliau memohon maaf dengan memaklumkan tidak dapat memenuhi jemputan berkenaan atas urusan di Brunei.
"Wassalam. Teringin nak pergi, tapi maaf hari Sabtu saya di Brunei. Saya doakan Hari Kantin taska berjalan lancar.
"Jangan beli jajan banyak sangat," nasihatnya secara bersahaja ketika membalas jemputan murid itu pada Jumaat.
Sebelum ini, seorang guru taska menerusi akaun @ aqilkmzmn berkongsi kisah bagaimana muridnya cuba mengajak Anwar hadir ke program Hari Kantin yang dijadualkan berlangsung pada Sabtu.
Menurutnya, seorang pelajar Al Sakeenah Learning Centre bertanya sama ada Perdana Menteri boleh dijemput ke program Hari Usahawan Cilik tersebut.
"Pada minggu lepas, salah seorang daripada murid saya tanya boleh ke ajak PMX datang Hari Usahawan Cilik.
"Kita pun cakap kalau awak berjaya buat PMX datang, abi bagi awak 100 markah on ClassDojo (sebagai penghargaan). Tudiaa dia pi Unclekan je PMX," katanya menerusi hantaran tersebut.






