PN adakan mesyuarat tergempar esok, jemput Bersatu

LocalPolitics
24 Oct 2026 • 8:25 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: PN adakan mesyuarat tergempar esok, jemput Bersatu

KOTA BHARU: Perikatan Nasional (PN) akan mengadakan mesyuarat tergempar bagi membincangkan kedudukan gabungan itu, termasuk isu perundangan dan persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, mesyuarat itu akan melibatkan semua parti komponen termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Katanya, keputusan mahkamah yang menangguhkan penggantungan dan pembatalan PN membolehkan gabungan itu kembali menjalankan aktiviti serta mengadakan mesyuarat seperti biasa.

“Sebelum ini, notis bertarikh 23 September lalu, mengarahkan semua kegiatan PN digantung kecuali aktiviti berkaitan menjawab tunjuk sebab yang dikemukakan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).

“Berdasarkan keputusan mahkamah semalam, PN dibenarkan mengadakan mesyuarat dan menjalankan aktiviti. Dengan adanya perintah penangguhan penggantungan dan pembatalan itu, PN kini boleh melaksanakan tanggungjawab, aktiviti dan mesyuarat seperti biasa,” katanya semasa sidang media selepas program Himpunan dan Munajat Penyatuan Ummah (Himpak) sempena Karnival Rakyat Kelantan 36 Tahun Membangun Bersama Islam (MBI) di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini malam tadi.

Ahli Parlimen Kota Bharu itu memberitahu, mesyuarat yang dijadual berlangsung di pejabat Pas itu akan membincangkan status PN yang merangkumi perkembangan kes mahkamah serta isu berkaitan PRN.

Katanya, kedudukan parti komponen akan turut dibincangkan termasuk Bersatu yang difahamkan sudah memilih kerusi dan menggunakan logo sendiri.

“Perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat sekiranya mereka hadir. Makluman jemputan sudah dibuat, manakala kad jemputan rasmi dijangka dikeluarkan hari ini,” ujarnya

Takiyuddin berkata, mesyuarat itu dikategorikan sebagai mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi PN yang tidak memerlukan tempoh notis panjang seperti mesyuarat biasa, iaitu tujuh hari, berdasarkan perlembagaan parti.-UTUSAN

The post PN adakan mesyuarat tergempar esok, jemput Bersatu appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved