PN berdepan ujian tembusi kubu DAP di tiga kerusi bandar

LocalPolitics
27 Oct 2026 • 8:10 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: PN berdepan ujian tembusi kubu DAP di tiga kerusi bandar

PETALING JAYA: Tiga kerusi bandar yang ditandingi DAP pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 bakal menjadi medan ujian buat Perikatan Nasional (PN) untuk membuktikan keupayaannya mencabar dominasi parti itu di kawasan yang sekian lama menjadi kubu kuatnya.

Ia selepas keputusan Barisan Nasional (BN) untuk tidak mele­takkan calon di tiga kerusi berkenaan membuka ruang persaingan kepada PN.

Pada PRN kali ini, Pakatan Harapan (PH) mengekalkan Allex Seah Shoo Chin di Kesidang, Low Chee Leong di Kota Laksamana dan Leng Chau Yen di Bandar Hilir.

Pengekalan ketiga-tiga penyandang itu memperlihatkan usaha DAP mempertahankan kawasan yang dimenanginya sebelum ini, sekali gus meletakkan cabaran kepada mana-mana pencabar untuk memecahkan sokongan sedia ada terhadap parti berkenaan.

Bagi PN, cabaran sebenar bukan sekadar meletakkan calon sebaliknya membina keyakinan peng­undi bandar terhadap kemam­puan gabungan itu membawa isu setempat dan menawarkan penyelesaian yang menepati keperluan mereka.

Pengundi di kawasan bandar mempunyai pelbagai pertimba­ngan ketika membuat pilihan, termasuk kos sara hidup, peluang ekonomi, kemudahan awam serta prestasi wakil rakyat.

Justeru, kekuatan kempen tidak boleh bergantung semata-mata pada persaingan politik antara parti.

Rekod PRN Melaka pada 2021 menunjukkan DAP menang de­ngan majoriti besar di ketiga-tiga kerusi berkenaan. Kesidang dimenangi dengan majoriti 10,237 undi, diikuti Kota Laksamana sebanyak 11,494 undi dan Bandar Hilir dengan majoriti 7,778 undi.

Majoriti itu menggambarkan cabaran yang perlu dihadapi pencabar untuk merapatkan jurang sokongan, terutama jika DAP berjaya mengekalkan pengundi yang menyokongnya pada pilihan raya lalu.

Bagaimanapun, keputusan PRN 2021 tidak semestinya mencerminkan pola pengundian kali ini. Penerimaan terhadap calon, isu semasa, rekod perkhidmatan wakil rakyat dan keupayaan parti mendekati pengundi boleh mempengaruhi keputusan di ketiga-tiga kawasan itu.

Dalam perkembangan pembahagian kerusi, BN dan PH masing-masing mengumumkan 21 calon.

Berdasarkan senarai ber­ke­naan, kedua-dua parti bertembung di 15 kerusi, manakala enam kerusi hanya menampilkan calon PH dan enam lagi hanya calon BN.

Susunan itu menimbulkan persoalan mengenai strategi PN, khususnya sama ada gabungan berkenaan akan memanfaatkan kerusi yang tidak ditandingi BN untuk memperluas pengaruhnya di Melaka.

Sekiranya PN bertanding di DUN Kesidang, Kota Laksamana dan Bandar Hilir, gabungan itu perlu membuktikan bahawa mereka bukan sekadar pencabar kepada DAP, tetapi turut mempunyai keupayaan memahami dan memperjuangkan kepentingan penduduk setempat.

Akhirnya, ujian buat PN bukan hanya sejauh mana gabungan itu mampu memasuki gelanggang persaingan di tiga kerusi bandar berkenaan, tetapi sama ada mereka mampu menukar kehadiran sebagai pencabar kepada soko­ngan undi yang mencukupi untuk menggugat kedudukan DAP. – UTUSAN

The post PN berdepan ujian tembusi kubu DAP di tiga kerusi bandar appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved