PRN Melaka: Gerakan akur keputusan agihan kerusi

LocalPolitics
25 Oct 2026 • 3:24 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: PRN Melaka: Gerakan akur keputusan agihan kerusi

SEREMBAN: Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) akur dengan sebarang keputusan Perikatan Nasional (PN) berhubung agihan kerusi yang bakal ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Presidennya, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, meskipun Gerakan menyasarkan untuk bertanding di satu hingga dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), keputusan akhir bergantung kepada rundingan antara parti komponen gabungan itu.

Katanya, rundingan berkenaan masih belum dimuktamadkan dan akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN di Pejabat Agung Pas, Kuala Lumpur, malam ini, menjelang pengumuman calon pada 29 Oktober ini.

“Bagi Gerakan, perkara ini sebahagian daripada proses rundingan dan kami akan menerima apa juga keputusan yang dicapai kerana kami merupakan sebahagian daripada gabungan ini.

“Perbincangan mengenai agihan kerusi masih belum diputuskan dan akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN malam ini,” katanya.

Beliau ditemui selepas Persidangan Perwakilan Negeri ke-51 serta Persidangan Perwakilan Wanita dan Pemuda ke-39 Gerakan Negeri Sembilan di sini, hari ini.

Dominic berkata, mesyuarat Majlis Tertinggi PN malam ini turut membincangkan perkembangan prosiding mahkamah, persiapan menghadapi PRN Melaka serta tindakan susulan berhubung isu penggunaan nama dan logo gabungan itu.

Dalam pada itu, beliau berkata, rundingan itu mengambil masa kerana beberapa parti komponen turut berminat untuk bertanding di kerusi DUN yang sama.

Menurutnya, penentuan calon dan agihan kerusi perlu mengambil kira beberapa faktor, termasuk kekuatan jentera parti, penerimaan rakyat terhadap calon serta hasil kajian di kawasan berkenaan.

“Gerakan juga mempunyai kerusi yang ingin ditandingi tetapi keputusan akhir bergantung kepada rundingan antara parti komponen kerana setiap parti mempunyai kerusi sasaran masing-masing,” katanya.

Beliau berkata, PN turut menjalankan kajian dan aktiviti turun padang bagi menilai tahap penerimaan rakyat terhadap gabungan itu di kawasan yang berpotensi ditandingi, termasuk di peringkat negeri.

Katanya, hasil kajian dan maklum balas yang diterima menunjukkan penerimaan positif terhadap PN di kawasan berkenaan, sekali gus mengukuhkan hasrat gabungan itu untuk bertanding pada PRN Melaka kali ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, model kerjasama bagi agihan kerusi antara parti komponen juga perlu dipersetujui kerana keputusan itu berkemungkinan menjadi rujukan bagi pilihan raya di negeri lain pada masa akan datang.

“Jika menggunakan model pengekalan penyandang, parti yang memenangi sesuatu kerusi sebelum ini akan terus mewakili kerusi itu pada pilihan raya akan datang.

“Jika model itu digunakan, maksudnya pada PRN di negeri-negeri lain, kita akan menggunakan model yang sama juga,” katanya. – UTUSAN

The post PRN Melaka: Gerakan akur keputusan agihan kerusi appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved