
KUALA LUMPUR – Keputusan berhubung permintaan Perikatan Nasional (PN) untuk mendapatkan tambahan dua kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka diserahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk diputuskan dalam masa terdekat.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perkara itu perlu diputuskan oleh parti sebelum sebarang ketetapan dibuat.
“Saya ingat yang itu (dua kerusi), biar nanti parti putuskan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Perhimpunan Agung Negara Ke-100 Persatuan Veteran ATM di sini hari ini.
Sebelum ini, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, PN berharap rundingan dapat diadakan bagi mendapatkan tambahan dua kerusi pada PRN Melaka.
Beliau berkata, meskipun Barisan Nasional (BN) telah memperuntukkan tujuh kerusi kepada Pas seperti diumumkan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Keputusan muktamad bagi pembahagian kerusi akan ditentukan oleh Jawatankuasa Perundingan Kerusi.- KOSMO! ONLINE
The post PN mahu tambahan dua kerusi PRN Melaka appeared first on Kosmo Online.





