
PETALING JAYA: Pas disifatkan sekadar budak suruhan dan ‘macai’ kepada Barisan Nasional (BN), susulan pembahagian kerusi bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abd. Samad berkata, peruntukan tujuh kerusi untuk Pas dan sekutunya jelas memperlihatkan kedudukan sebenar parti berkenaan dalam kerjasama politik tersebut.
Katanya, keputusan muktamad UMNO dan BN untuk bekerjasama dengan Pas juga menamatkan segala teka-teki mengenai kedudukan parti politik yang bakal bertembung pada pilihan raya berkenaan.
“Ke mana perjuangan Pas yang selama ini dibawanya atas prinsip Islam yang menolak asabiah, kezaliman, rasuah dan salah guna kuasa?
“Zahid (Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi) telah menyatakan bahawa BN akan menggunakan logonya sendiri manakala Pas dan sekutunya akan menggunakan logo berasingan.
“Saya syorkan supaya mereka semua menggunakan logo BN kerana pada hakikatnya sudah tiada beza antara mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Khalid mendakwa, kerjasama politik antara kedua-dua pihak lebih menjurus kepada usaha mendapatkan kuasa tanpa berlandaskan idealisme atau prinsip perjuangan yang jelas.
Beliau turut mempertikaikan pendekatan politik Pas yang disifatkannya tidak lagi berpandukan dalil al-Quran dan sunah yang selama ini membentuk identiti parti berkenaan.
“UMNO dan rakan-rakannya dalam BN seperti MCA dan MIC ingin terus menyuburkan budaya politik sakau dan sangat bangga dengannya.
“Melalui politik sakau, mereka mendapat kekayaan yang dengannya mereka membeli hati rakyat khususnya orang Melayu.
“Maka dengan itu, wujud dalam kalangan rakyat Melayu mereka yang berterima kasih kerana mendapat tempias daripada kekayaan tersebut dan tanpa sedar menyanjung tinggi penyakau harta bangsa Melayu sendiri dan harta negara,” katanya.
Beliau menyifatkan Pas pula mahu menyuburkan budaya politik ‘pukau’ sehingga penyokongnya terlalu patuh kepada kepemimpinan tanpa mempersoalkan tindakan mereka.
“Keadaan ketaatan membabi buta ini sangat jelas apabila ahli dan penyokong Pas langsung tidak mampu mempersoalkan tindakan pimpinan Pas menyokong golongan sakau termasuk membela Datuk Seri Najib Tun Razak,” katanya.
Khalid menyarankan Pakatan Harapan (PH) bergerak secara bersendirian pada PRN Melaka dan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) bagi mengelakkan kekeliruan akibat percaturan kerjasama dengan parti politik lain.
Katanya, pendekatan itu membolehkan gabungan berkenaan menawarkan gagasan, dasar dan calon yang berprinsip kepada rakyat tanpa terikat dengan kepentingan pihak lain. – UTUSAN
The post Khalid Samad label Pas ‘macai’ BN appeared first on Utusan Malaysia.





