PN perlu luaskan kerjasama tawan Putrajaya – Ahmad Samsuri

LocalPolitics
23 Nov 2026 • 10:10 AM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata gabungan itu perlu membina kerjasama dengan parti di luar PN, termasuk Barisan Nasional (BN), bagi meningkatkan peluang membentuk kerajaan Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Image from: PN perlu luaskan kerjasama tawan Putrajaya – Ahmad Samsuri

Foto: Berita Harian

Memetik laporan Sinar Harian, beliau berkata hubungan antara parti komponen PN berada dalam keadaan baik, namun kekuatan gabungan itu sahaja masih belum memadai untuk mencapai sasaran berkenaan.

“Apa yang penting ialah kita mesti bekerja bersama-sama dalam muafakat kita. Muafakat yang kita lebarkan ini, kita ada muafakat PN dan ia berada dalam keadaan baik.

“Tetapi dalam masa sama, untuk menang pilihan raya, kita sahaja pun belum cukup kuat. Kita ada kekuatan, tetapi kita perlu memperluaskan kerjasama,” katanya ketika merasmikan Persidangan Perwakilan Nasional Ke-53 Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) di Menara PGRM pada Ahad.

Ahmad Samsuri, yang juga Menteri Besar Terengganu, menyebut BN sebagai antara rakan politik yang boleh didekati. Beliau mengakui usaha membina persefahaman mungkin mencabar kerana setiap parti mempunyai budaya dan pendekatan politik tersendiri.

“Selain daripada kita dalam PN, kita akan ada muafakat kerjasama politik dengan rakan yang lain seperti BN umpamanya, yang mempunyai budaya dan cara yang mungkin berbeza dengan kita.
“Tetapi kita perlu usahakan. Walaupun mungkin kita rasa sukar, kita perlu berusaha,” ujarnya.

Mengambil iktibar daripada pilihan raya umum lalu, Ahmad Samsuri berkata PN perlu memastikan kerusi yang dimenangi pada PRU16 dapat diterjemahkan kepada sokongan yang mencukupi untuk membentuk kerajaan Persekutuan.

“Kita bukan sekadar mahu menang pertempuran, tetapi kita mahu memenangi peperangan. Kita tidak mahu hanya menang pertempuran seperti PRU lalu apabila memperoleh jumlah kerusi terbesar, tetapi akhirnya kalah dalam peperangan,” tambahnya lagi.

Sumber: Sinar Harian (Nurul Huda Husain)

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved