PN rampas 28 kerusi PH jika tiada pertembungan 3 penjuru

LocalPolitics
20 Nov 2026 • 11:07 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: PN rampas 28 kerusi PH jika tiada pertembungan 3 penjuru

DUNGUN: Perikatan Nasional (PN) berpeluang merampas 28 kerusi Parlimen dikuasai Pakatan Harapan (PH), termasuk 10 kerusi milik DAP sekiranya pertandingan tiga penjuru dapat dielakkan pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, penyelarasan kerusi menerusi muafakat politik yang kukuh mampu mengelakkan perpecahan undi sekali gus meningkatkan peluang gabungan itu memenangi lebih banyak kerusi Parlimen.

Menurutnya, rundingan pembahagian kerusi perlu disusun dengan teliti bagi memastikan tiada pertembungan sesama rakan kerjasama politik yang boleh menjejaskan peluang kemenangan.

“Ada 28 kerusi yang dimenangi oleh PH, yang sekiranya tidak berlaku tiga penjuru, kita boleh menang dan rampas balik.

“Sekurang-kurangnya ada kerusi DAP pun yang dimenangi oleh DAP. Ada 10 kerusi DAP di peringkat Parlimen, sekiranya muafakat ini kita atur dengan begitu kemas, kerusi itu pun boleh kita menang,” katanya ketika berucap pada Sambutan 70 Tahun Pas Kawasan Dungun dan Himpunan Teguh Memimpin Terengganu (TMT 2.0) di sini, malam tadi.

Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden Pas mengingatkan ahli parti serta kepimpinan di peringkat bahagian dan kawasan supaya mengetepikan kepentingan peribadi demi memastikan matlamat politik yang lebih besar dapat dicapai.

Katanya, penyertaan dalam parti politik tidak seharusnya berlandaskan keinginan untuk menjadi calon pilihan raya semata-mata, sebaliknya perlu mengutamakan kemenangan pasukan dan kepentingan perjuangan.

“Bukan melihat kepentingan tiap-tiap orang atau kepentingan Ketua Bahagian atau Yang Dipertua Pas semata-mata.

“Kerana menjadi calon di mana-mana kerusi bukan menjadi objektif menyertai parti politik. Kalau masuk parti politik, menyertai politik, berjawatan politik mesti jadi calon, kalau macam itu susahlah,” katanya.

Mengulas hala tuju perjuangan PN, Ahmad Samsuri berkata, kejayaan memimpin Terengganu merupakan satu fasa dalam perjalanan politik gabungan itu sebelum melangkah ke peringkat Persekutuan dengan menjadikan Putrajaya sebagai sasaran seterusnya.
Selain itu, beliau menggesa kepimpinan parti supaya membuka lebih banyak ruang kepada generasi muda, khususnya pengundi berusia 18 tahun ke atas, dengan mengambil kira pandangan serta aspirasi golongan berkenaan dalam menentukan hala tuju politik negara.

Katanya, parti perlu menyesuaikan pendekatan dengan perubahan demografi pengundi dan bersikap terbuka terhadap pandangan generasi baharu yang turut memainkan peranan penting dalam menentukan masa depan negara.

Menurutnya, kekuatan sesebuah parti bukan sekadar bergantung kepada sokongan pengundi, sebaliknya perlu dibina melalui tarbiah, pembentukan akhlak, budaya ilmu, persaudaraan dan amalan musyawarah.-UTUSAN

The post PN rampas 28 kerusi PH jika tiada pertembungan 3 penjuru appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved