
TAIPING – Perikatan Nasional (PN) terbuka untuk mengadakan rundingan dengan Barisan Nasional (BN) termasuk berkaitan kerjasama dan pertukaran kerusi bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang.
Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, bagaimanapun setakat ini belum terdapat sebarang perbincangan rasmi antara kedua-dua gabungan berhubung perkara berkenaan.
Beliau berkata, ruang untuk rundingan masih terbuka memandangkan tarikh PRN Melaka juga belum diketahui.
“Perikatan Nasional juga terbuka untuk mengadakan sebarang bentuk perundingan, walaupun buat masa ini belum ada perbincangan sedemikian.
“Kita juga belum mengetahui tarikh pilihan raya Melaka. Dengan tempoh yang masih ada, ruang untuk berbincang masih terbuka luas, sama ada dalam kalangan pimpinan PN sendiri atau bersama rakan-rakan Muafakat.
Jika mereka bersedia untuk berbincang, insya-Allah kita juga bersedia,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Konvensyen PAS Perak Ke-23 di Hotel Perdana Taiping, di sini, hari ini.
Ahmad Samsuri berkata, rundingan berkaitan kerjasama atau pembahagian kerusi itu sebaik-baiknya dilaksanakan sebelum pembahagian kerusi antara parti dimuktamadkan.
“Ya, yang paling ideal ialah sebelum pembahagian kerusi dimuktamadkan,” katanya ketika ditanya sama ada rundingan berkenaan perlu diadakan lebih awal.
Semalam, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata BN terbuka untuk mengadakan kerjasama atau pertukaran kerusi dengan pihak tertentu bagi menghadapi PRN Melaka.
Dalam pada itu, Ahmad Samsuri berkata, apa sahaja kemungkinan boleh berlaku dalam politik sekiranya pimpinan tertinggi kedua-dua pihak bersedia untuk duduk semeja dan berunding.
Katanya, rundingan yang dibuat perlu mengambil kira kepentingan lebih besar, khususnya usaha memastikan pembentukan kerajaan yang stabil selepas pilihan raya. – KOSMO! ONLINE
The post PN terbuka runding kerjasama, pertukaran kerusi dengan BN di Melaka appeared first on Kosmo Digital.






