
TAIPING – Gabungan Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) mampu mencatat peluang kemenangan sekitar 75 peratus sekali gus membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Perak akan datang.
Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, berdasarkan kajian yang dibuat, gabungan berkenaan berpotensi memenangi antara 32 hingga 38 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.
Menurut beliau, unjuran itu menjadi ‘game changer’ berbanding kedudukan semasa PN yang mempunyai kira-kira 48 peratus peluang untuk memenangi Perak sekiranya bergerak dengan kerjasama politik sedia ada.
“Kalau PN tambah BN, berapa potensi dan di sinilah ‘game changer’. Nombor itu sangat menarik, 75 peratus bermakna lebih daripada dua pertiga, tetapi tentunya laluan dan jalan kita ke arah itu bukan ‘highway’, sebaliknya penuh dengan onak dan duri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Konvensyen Pas Negeri Perak Ke-23 di Hotel Perdana, di sini hari ini.
Ahmad Samsuri berkata, unjuran berkenaan bergantung kepada beberapa faktor termasuk strategi kempen, pemilihan calon, kadar keluar mengundi serta perkembangan dan sentimen politik semasa pilihan raya.
Menurut beliau, antara asas kepada peningkatan potensi kemenangan itu ialah percantuman undi PN dan BN selain pengurangan pertandingan tiga penjuru yang boleh membuka ruang kepada pertembungan satu lawan satu dengan Pakatan Harapan (PH).
Bagaimanapun, katanya, kerjasama berkenaan tidak semestinya menyebabkan keseluruhan penyokong PN mengalihkan undi kepada calon BN atau sebaliknya, manakala isu pembahagian kerusi dan pemilihan calon juga berpotensi mencetuskan protes dalaman.
Beliau berkata, antara kerusi yang dilihat berpotensi beralih daripada PH sekiranya berlaku penyatuan undi PN-BN ialah Kuala Sepetang, Hulu Kinta, Tebing Tinggi, Sungai Rapat, Hutan Melintang dan Teja, selain Sungai Manik, Changkat Jong serta Sungkai.
“Isu pembahagian kerusi atau pemilihan calon yang tidak dipersetujui dan protes perlu diuruskan. Matlamat besar kita di Perak ialah untuk menumbangkan kerajaan PH yang ada pada hari ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Gabungan PN-BN di Perak mampu catat kemenangan 75 peratus appeared first on Kosmo Digital.






